Ahad, 13 March 2022 | 7:09pm
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika berucap pada Majlis Pelancaran Perikatan Nasional (PN) Peringkat Negeri Johor di padang awam Taman Pasak Indah di Kota Tinggi Johor pada 19 Februari. - Foto fail NSTP
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika berucap pada Majlis Pelancaran Perikatan Nasional (PN) Peringkat Negeri Johor di padang awam Taman Pasak Indah di Kota Tinggi Johor pada 19 Februari. - Foto fail NSTP

PAS, PN akan terus santuni rakyat

JOHOR BAHRU: PAS bersama komponen Perikatan Nasional (PN) akan terus menyantuni rakyat berdasarkan peningkatan sokongan yang ketara di kebanyakan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata walaupun PN hanya memenangi tiga kerusi DUN, PAS dan PN menerima keputusan pilihan raya itu dengan hati yang lapang.

"Di kesempatan ini, PAS mengucapkan terima kasih kepada para petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Kesihatan, serta jentera parti yang bertugas dalam memastikan proses pilihan raya berjalan dengan lancar dan selamat.

"PAS turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Johor yang telah mengundi calon-calon PN, khususnya yang dikemukakan oleh PAS," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sokongan yang diberikan amat bermakna bagi meneruskan agenda prihatin, berintegriti dan berkebajikan demi kemaslahatan negeri serta negara.

Pada PRN Johor, Barisan Nasional menang 40 daripada 56 kerusi DUN, diikuti Pakatan Harapan (11), PN (tiga), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) (satu) dan PKR (satu). PN menang di DUN Bukit Kepong, Maharani dan Endau.

– BERNAMA

Berita Harian X