Ahad, 13 March 2022 | 11:09am
- Foto hiasan. - BERNAMA
- Foto hiasan. - BERNAMA

PRN Johor: 15 daripada 37 calon wanita menang

KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menyaksikan 15 daripada 37 calon wanita berjaya memenangi kerusi masing-masing, manakala kesemua tujuh wanita dipertaruhkan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) dan PKR kecundang.

Calon Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amira Aisya Abd Aziz, 27, yang membuat penampilan pertama dan menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, antara yang menyerlah dengan majoriti 7,114 undi setelah memperoleh 22,884 undi, menewaskan lima pencabar lain.

Ia sekali gus menjadikan Setiausaha Agung MUDA itu satu-satunya calon berjaya menyumbang kerusi tunggal untuk parti baharu yang pertama kali bertanding dalam pilihan raya itu.

Turut mencuri tumpuan ialah calon Perikatan Nasional (PN), Alwiyah Talib yang membantutkan hasrat Barisan Nasional (BN) untuk merampas kembali kerusi DUN Endau apabila berjaya mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 3,041 undi, menewaskan empat calon lain.

Alwiyah sebelum ini memenangi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) atas tiket BN sebelum menyertai BERSATU.

Calon wanita yang dipertaruhkan BN dilihat cemerlang apabila sembilan daripada 14 menang, antaranya Nor Rashidah Ramli dan Rashidah Ismail yang berjaya mempertahankan kerusi masing-masing di Parit Raja dan Pasir Raja.

Calon BN lain yang menang ialah Hasrunizah Hassan (Pulai Sebatang), Fauziah Misri (Penawar), Norlizah Noh (Johor Lama), Datuk Sharifah Azizah Syed Zain (Mahkota), Khairin-Nisa Ismail @ Md On (Serom), Haslinda Salleh (Tenang) dan N Saraswati (Kemelah).

Pakatan Harapan (PH) pula memperoleh kerusi melalui empat calon wanita, iaitu Setiausaha Publisiti Wanita DAP Johor, Marina Ibrahim, Gan Peck Cheng (Penggaram), Ng Kor Sim (Jementah) dan Liow Cai Tung (Johor Jaya).

PRN Johor menyaksikan peningkatan jumlah calon wanita yang bertanding di negeri berkenaan berbanding 28 orang sewaktu Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 2018, dengan BN mempertaruhkan calon wanita paling ramai, iaitu 14 orang, PN (6), PH (8), PEJUANG (4), PKR (3) dan MUDA (2).

Pilihan raya ini menyaksikan BN memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan, sekali gus membolehkan parti berkenaan membentuk kerajaan negeri. – BERNAMA

Berita Harian X