X
Jumaat, 11 March 2022 | 5:01pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Siasatan gegelang sotong daripada usus babi masih dijalankan

KUALA LUMPUR: Hasil siasatan berhubung dakwaan gegelang sotong (sotong ring) yang dijual di pasaran diperbuat daripada usus babi akan diumumkan selepas keputusan analisa makmal dikeluarkan oleh Jabatan Kimia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, berkata setakat ini siasatan masih giat dijalankan berhubung isu berkenaan.

"Satu perbincangan antara pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta tiga jabatan agama Islam negeri (JAIN) iaitu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) diadakan, baru-baru ini.

"Hasil laporan mesyuarat berkenaan memaklumkan siasatan masih sedang berjalan dan sampel makanan itu telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk tujuan analisa dan pengesahan," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Isnin lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengesahka,n produk gegelang sotong berkenaan sudah diserahkan kepada Jabatan Kimia untuk dianalisis.

Idris berkata, kesemua pihak berkaitan sudah mengambil tindakan awal sebaik isu berkenaan ditularkan dengan turun padang menjalankan siasatan serta mengambil sampel untuk dianalisa.

Katanya, JAKIM turut menghubungi badan pensijilan halal di China iaitu Shandong Halal Certification Services (SHCS) bagi mendapatkan pengesahan berhubung sijil halal produk berkenaan.

Beliau turut berterima kasih kepada semua pihak berkaitan yang cekap dalam menjalankan siasatan berhubung isu berkenaan.

"Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada pihak KPDNHEP bersama JAIS, JHEAIK dan JAIPS yang tangkas menyiasat serta meneliti isu ini daripada segenap aspek.

"Ucapan terima kasih juga diucapkan kepada pihak Jabatan Kimia Malaysia kerana telah memberikan keutamaan kepada sampel ini untuk dianalisa," katanya.

Tambahnya, sekiranya didapati terdapat sebarang ketidakpatuhan oleh mana-mana pihak kepada peraturan yang telah ditetapkan, kementeriannya akan mengambil tindakan tegas untuk menjaga kemaslahatan masyarakat.

"Jika terdapat sebarang keraguan terhadap produk-produk di pasaran, masyarakat boleh membuat aduan serta rujukan kepada JAKIM untuk penjelasan lanjut," katanya.

Berita Harian X