Khamis, 10 March 2022 | 3:30pm

Penternak akuakultur kerugian RM6.9 juta

KUALA TERENGGANU: Seramai 142 pengusaha ternakan akuakultur kerugian kira-kira RM6.9 juta disebabkan banjir Ahad lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim, berkata pengusaha ternakan akuakultur itu adalah penerima Skim Bantuan Modal Tani (SBMT).

Katanya, kerajaan akan menyalurkan bantuan kepada penternak yang terjejas banjir selepas proses penelitian kerugian sedang dijalankan selesai.

"Kebanyakan ikan yang mati bersaiz matang dan dijangka dipasarkan menjelang Ramadan ini," katanya ketika melawat lawatan projek ternakan ikan sangkar SBMT di Kampung Pulau Musang, di sini, hari ini.

Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Jabi berkata, kerajaan sedang melakukan penyelarasan bagi penstrukturan semula pinjaman dilakukan antara agensi pemberi pinjaman untuk membantu penternak kembali bangkit selepas bencana banjir.

Mengulas mengenai SBMT, Dr Azman berkata, sebanyak RM8 juta diagihkan kepada 424 penerima sejak dilancarkan kerajaan negeri pada tahun 2019.

Katanya, Terengganu adalah satu-satunya kerajaan yang menyediakan kemudahan bantuan modal kepada warga tani, penternak dan nelayan di negara ini.

Dr Azman (dua dari kiri) meninjau sangkar ikan milik penternak di Kampung Pulau Musang, hari ini - FOTO NSTP/Baharom Bakar.
Dr Azman (dua dari kiri) meninjau sangkar ikan milik penternak di Kampung Pulau Musang, hari ini - FOTO NSTP/Baharom Bakar.
Berita Harian X