Isnin, 7 March 2022 | 3:00pm
Sekolah Menengah Agama Tengku Ampuan Fatimah (SMATAF) diarah tutup seminggu bermula semalam selepas 53 pelajar yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) disahkan positif COVID-19. - Foto NSTP/MOHD RAFI MAMAT
Sekolah Menengah Agama Tengku Ampuan Fatimah (SMATAF) diarah tutup seminggu bermula semalam selepas 53 pelajar yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) disahkan positif COVID-19. - Foto NSTP/MOHD RAFI MAMAT

53 pelajar SPM SMATAF positif COVID-19

PEKAN: Seramai 53 pelajar yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Agama Tengku Ampuan Fatimah (SMATAF), di sini, disahkan dijangkiti COVID-19.

Berikutan itu, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pekan mengarahkan sekolah berkenaan ditutup seminggu, bermula semalam untuk operasi membasmi kuman bagi mencegah penularan wabak.

Difahamkan, selain 53 pelajar yang disahkan positif, 36 lagi pelajar daripada keseluruhan 90 calon yang menduduki SPM di sekolah berkenaan juga menjadi kontak rapat kes COVID-19.

Pegawai Pendidikan Daerah Pekan, Mohd Razali Mustafar, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan berkata, penularan wabak Covid-19 di SMATAF berlaku dengan begitu cepat.

Katanya, hanya dalam masa beberapa hari, hampir semua pelajar yang menduduki peperiksaan SPM dijangkiti virus itu.

"Pada hari pertama peperiksaan SPM, hanya seorang calon sahaja disahkan positif dan jumlah pelajar dijangkiti bertambah selepas ujian RTK dijalankan pihak sekolah," katanya.

Beliau berkata, secara keseluruhannya, seramai 1,802 pelajar di Pekan menduduki SPM bermula Isnin lalu, membabitkan 21 sekolah.

Jumaat lalu Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Abdul Razak Pekan, di sini, diarah tutup seminggu selepas 35 pelajar yang juga calon SPM positif COVID-19.

Seramai 35 pelajar disahkan positif, 91 lagi pelajar daripada keseluruhan 141 calon yang menduduki SPM di sekolah berkenaan juga menjadi kontak rapat.

Mohd Razali berkata, pihaknya sentiasa berhubung dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pekan, yang akan memantau semua pusat pemeriksaan SPM bagi memastikan wabak COVID-19 tidak terus menular hingga menjejaskan tumpuan calon SPM.

Berita Harian X