Ahad, 6 March 2022 | 10:24pm
Bekas wakil rakyat BERSATU di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Lama, Rosleli Jahari (kanan) mengumumkan keluar dari parti itu dan mahu menyertai semula UMNO. - Foto FB Najib Razak
Bekas wakil rakyat BERSATU di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Lama, Rosleli Jahari (kanan) mengumumkan keluar dari parti itu dan mahu menyertai semula UMNO. - Foto FB Najib Razak

Bekas ADUN Johor Lama keluar BERSATU masuk UMNO

JOHOR BAHRU: Bekas wakil rakyat BERSATU di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Lama, Rosleli Jahari, mengumumkan keluar parti itu dan mahu menyertai semula UMNO.

Pengumuman Rosleli dimuat naik di akaun Facebook rasmi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kira-kira jam 7 malam tadi.

Dalam video berdurasi seminit dan dua puluh saat itu, Rosleli berkata, beliau meninggalkan BERSATU kerana hilang keyakinan terhadap Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pentadbiran parti itu.

"Saya dengan rasa rendah hati syukur dan tawaduk kepada Allah ingin umumkan keluar BERSATU dan memohon untuk kembali pada parti asal saya iaitu UMNO.

"Dengan ini saya akan kembali berjuang dalam parti UMNO dan membantu calon-calon atas tiket BN khasnya di kawasan DUN Johor Lama.

"Jadi tugas saya kepada BERSATU selesai apabila UMNO dan BN mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri Johor sebelum ini," katanya dalam rakaman video itu.

Rosleli yang bertanding atas tiket BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) keluar parti selepas Pakatan Harapan (PH) menang dan menyertai BERSATU.

Selain beliau, dua lagi ADUN BN iaitu Rasman Ithnain yang juga penyandang DUN Sedili dan Alwiyah Talib penyandang DUN Endau turut membuat keputusan sama menyertai BERSATU.

Bagaimanapun, Rasman dan Alwiyah kekal bersama BERSATU walaupun sebelum ini khabar angin bertiup kencang kedua-duanya akan meninggalkan BERSATU.

Alwiyah turut dicalon semula bertanding di DUN Endau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, manakala Rasman tidak dicalonkan semula.

Berita Harian X