Ahad, 6 March 2022 | 8:13pm

Tiada laporan pecah rumah mangsa banjir di Terengganu

KUALA TERENGGANU: Polis tiada menerima sebarang laporan kes jenayah, terutama insiden pecah rumah dan kecurian harta benda, daripada mangsa banjir sepanjang tempoh bencana itu melanda Terengganu sejak 25 Februari lalu hingga pulih semalam.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa, berkata pihaknya sentiasa melakukan rondaan dan pemantauan di kawasan yang terjejas banjir.

Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin dan tiada kes jenayah serta kecurian berlaku terhadap harta benda atau kediaman, ketika mangsa banjir ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

"Kita memang menyusun pasukan pencegahan jenayah daripada Ibu Pejabat Daerah (IPD) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu bagi mengatur strategi serta mengawal kawasan kediaman penduduk.

"Kita tidak mahu penduduk menjadi mangsa jenayah pula ketika mereka diuji dalam banjir yang melanda negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Bridge To Bridge: Charity Ride Polis Diraja Malaysia Kontinjen Terengganu 2022 di Dataran Batu Buruk, di sini.

Gelombang kelima banjir yang melanda Terengganu sejak 25 Februari lalu menjejaskan lebih 20,000 mangsa daripada kira-kira 7,000 keluarga.

Bencana itu menyebabkan kesemua lapan daerah di negeri ini terkesan, dengan Hulu Terengganu menjadi daerah yang terakhir pulih daripada banjir, semalam.

Kerja pembersihan giat dijalankan selepas banjir pulih di Terengganu. - NSTP/BAHAROM BAKAR
Kerja pembersihan giat dijalankan selepas banjir pulih di Terengganu. - NSTP/BAHAROM BAKAR
Berita Harian X