Ahad, 6 March 2022 | 3:59pm
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid Rosol (kanan) meninjau Program Jualan Keluarga Malaysia di pekarangan Masjid Mak Kemas, Bukit Payong. STR/NAZDY HARUN
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid Rosol (kanan) meninjau Program Jualan Keluarga Malaysia di pekarangan Masjid Mak Kemas, Bukit Payong. STR/NAZDY HARUN

KPDNHEP terima aduan kenaikan harga buah

Marang: Kerajaan menyedari ada peningkatan harga buah-buahan dalam pasaran negara berikutan konflik yang berlaku di antara Russia dan Ukraine.

Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid, berkata pihaknya menerima rungutan berkaitan peningkatan harga terbabit.

Katanya, pihaknya sentiasa memantau kenaikan harga barangan namun dalam kes import buah-buahan pihaknya tidak menolak berlaku peningkatan kos sehingga berlaku kenaikan harga.

"Ia memang berlaku kenaikan harga, apatah lagi sumber barangan terbabit datangnya dari negara yang sedang dalam peperangan dan kita tidak menafikan kenaikan harga terbabit.

"Namun kita sentiasa memantau keadaan ini bagi mengelak peniaga dengan sewenangnya menaikan harga barangan berikutan bekalan diperoleh sememangnya sudah pada harga yang tinggi.

"Sekiranya berlaku pencatutan terhadap harga barangan berkenaan pihak kerajaan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan," katanya ketika ditemui di Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Dataran Masjid Mak Kemas, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai PJKM beliau berkata, melihat kepada kejayaan program ini kerajaan berhasrat untuk melanjutkan lagi program jualan seperti ini.

Katanya, konsep sama namun pendekatan sedikit berbeza dalam PJKM apabila pihaknya menyediakan lori yang membawa barangan akan bergerak ke lokasi yang ditetapkan.

Rosol berkata, program yang menggunakan lori ini akan dimulakan di Johor pada minggu hadapan dan lokasi terawal adalah seperti di daerah Endau dan Kluang sebelum digerakkan ke kawasan lain.

"PJKM memberi impak yang baik kerana pengguna dapat membeli keperluan dengan harga yang sedikit murah berbanding harga asal dan sesetengah lokasi hasil jualan mampu mencecah hingga setengah juta ringgit," katanya.

Berita Harian X