Sabtu, 5 March 2022 | 6:55pm
Omar (tengah) dalam kempen PRN Johor di Felda Pasak hari ini. - Foto FB Omar Mokhtar
Omar (tengah) dalam kempen PRN Johor di Felda Pasak hari ini. - Foto FB Omar Mokhtar

'Nombor ajaib' jadi sandaran PKR di DUN Johor Lama

KOTA TINGGI: Formula 'nombor ajaib' menjadi percaturan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk mencipta kejutan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Lama.

Angka rahsia itu dikatakan mempunyai kaitan dengan peratusan keluar mengundi, pertambahan pengundi muda dan angin perubahan sokongan menjelang 12 Mac.

Calon PKR, Omar Mokhtar A Manap, yang pertama kali diturunkan bertanding mewakili parti dan berdepan saingan di kubu kuat Barisan Nasional (BN) itu mengakui 'bacaan' di atas kertas tidak memberi kelebihan kepada dirinya.

Bagaimanapun, katanya, tinjauan di lapangan sepanjang berkempen di Johor Lama mendapati kawasan yang dulunya dikategorikan sebagai hitam, kini berupaya dimasuki malah mendapat penerimaan baik dalam kalangan masyarakat.

"Tengok atas kertas, memang ini seperti cabaran luar biasa untuk anak muda bertanding di kawasan yang UMNO menang dengan majoriti lebih 5,000 undi.

"Namun inilah jalannya selari perjuangan reformasi kerana tiada jalan singkat, yakni hanya nak dicalonkan di kawasan selesa atau kerusi selamat.

"Tiada apa yang mustahil, malah kita mula rasakan ada perubahan besar di Johor Lama kerana apabila turun memberi penjelasan, kawasan yang dulunya hitam pun sudah boleh masuk sekarang.

Omar (kiri) bersama Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam kempen PRN Johor di Felda Pasak hari ini. - Foto FB Omar Mokhtar
Omar (kiri) bersama Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam kempen PRN Johor di Felda Pasak hari ini. - Foto FB Omar Mokhtar

"Hasil pendekatan kita tanpa provokasi sebaliknya terarah kepada menyantuni rakyat, penduduk setempat boleh ajak duduk minum kopi bersama," katanya kepada BH.

Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu merekodkan calon BN, Rosleli Jahari menang selesa dengan majoriti 5,807 undi dalam saingan tiga penjuru, mengetepikan calon PKR, Nor Ashidah Ibrahim dan calon PAS, Siti Zaharah Othman.

Rosleli kemudian keluar BN dan menyertai BERSATU.

Kerusi Johor Lama bakal menyaksikan saingan empat penjuru antara Omar Mokhtar, Norliza Noh (BN), Alias Rasman (Perikatan Nasional) dan Mohd Shukor Ahmad (Parti Pejuang Tanahair).

Omar Mokhtar berkata, rancangan pembangunan di Johor Lama mengikut perancangan PKR terarah kepada tiga dasar utama meliputi kepentingan FELDA, mencungkil potensi sejarah dan kos sara hidup penduduk.

"Johor Lama kaya dengan sejarah, tetapi nampak suram kerana potensinya tidak diteroka.

"Sekiranya usaha ini dapat dirintis, saya percaya ia akan membuka peluang ekonomi, pekerjaan dan membangunkan Johor Lama dengan lebih pesat, berbanding keadaan semasa.

"Dalam soal FELDA, inisiatif akan ditumpukan kepada hal ehwal perumahan selain isu berhubung sumber air yang agak terhad," katanya.

Berita Harian X