Sabtu, 5 March 2022 | 3:35pm
Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Abdul Razak di Pekan, Pahang.
Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Abdul Razak di Pekan, Pahang.

COVID-19: MRSM di Pekan tutup seminggu untuk disinfeksi

PEKAN: Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Abdul Razak, di sini, diarah tutup seminggu selepas 35 pelajar yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) positif COVID-19.

Arahan penutupan dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pekan petang semalam, dengan asrama pelajar dan pejabat pentadbiran dikosongkan untuk tujuan disinfeksi bagi mencegah penularan wabak.

Berdasarkan maklumat, selain 35 yang disahkan positif, 91 lagi pelajar daripada keseluruhan 141 calon yang menduduki SPM di sekolah berkenaan juga menjadi kontak rapat kes COVID-19.

Pegawai Pendidikan Daerah Pekan, Mohd Razali Mustafar ketika dihubungi, mengesahkan penutupan seminggu MRSM Tun Abdul Razak Pekan susulan arahan dikeluarkan PKD Pekan dan pihaknya akur.

Katanya, penularan wabak COVID-19 di MRSM Tun Abdul Razak begitu cepat kerana dalam masa beberapa hari sahaja hampir semua pelajar yang menduduki peperiksaan SPM dijangkiti virus itu.

"Di daerah ini keseluruhannya terdapat 1,802 pelajar menduduki SPM bermula Isnin lalu membabitkan 21 sekolah dan di MRSM Tun Abdul Razak sahaja terdapat serama 141 calon.

"Saya sentiasa mengingatkan pihak sekolah supaya memantau tahap kesihatan pelajar yang menduduki SPM dan mereka yang bergejala perlu menjalani ujian RTK bagi mengelak berlaku penularan," katanya.

Berita Harian X