Jumaat, 4 March 2022 | 6:44pm
Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald menyediakan peralatan multi-sensori serba lengkap untuk meningkatkan perkembangan kognitif dan keyakinan kanak-kanak berkeperluan khas dan masalah pembelajaran. - Foto McDonald’s Malaysia
Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald menyediakan peralatan multi-sensori serba lengkap untuk meningkatkan perkembangan kognitif dan keyakinan kanak-kanak berkeperluan khas dan masalah pembelajaran. - Foto McDonald’s Malaysia

RMHC buka cawangan Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald ke-34

KANGAR: Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) Malaysia melengkapkan penubuhan Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald (RMSR) di setiap negeri di Malaysia melalui pembukaan cawangan ke-34 di A-Heart Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), baru-baru ini.

RMSR sumbangan RMHC itu adalah perkhidmatan yang disediakan untuk kanak-kanak berkeperluan khas dan mempunyai masalah pembelajaran.

Bilik terapi sensori dilengkapi dengan peralatan multi-sensori untuk merangsang deria asas seperti penglihatan, pendengaran, sentuhan dan menghidu bagi meningkatkan perkembangan kognitif dan keyakinan kanak-kanak.

Sehingga kini, RMHC sudah menyediakan sebanyak 35 RSMR di seluruh negara yang bernilai RM3.7 juta dan memanfaatkan lebih daripada 7,000 kanak-kanak istimewa di seluruh Malaysia.

Tajaan bilik terapi sensori berkenaan juga dilengkapi dengan latihan untuk pelatih kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU) supaya mereka dapat memberikan perkhidmatan yang bersesuaian untuk kanak-kanak memerlukan.

Majlis perasmian RSMR ke-34 disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizudin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama, Naib Canselor UniMAP, Profesor Zaliman Sauli serta Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia merangkap Pengerusi Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia, Datuk Azmir Jaafar.

Azmir berkata, pihaknya amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan pihak A-Heart dan UniMAP bagi menyediakan kemudahan yang sangat diperlukan oleh kanak-kanak berkeperluan khas di Perlis.

Pada majlis sama, McDonald's Malaysia turut menyerahkan bayaran zakat korporat bernilai RM100,000 kepada Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang disaksikan oleh Ketua Unit Strategik dan Pemantauan Inisiatif MAIPs, Azizul Fitri Ismail.

Azmir berkata, sumbangan zakat korporat McDonald's Malaysia ini adalah tanggungjawab pihaknya sebagai sebuah syarikat 100 peratus entiti milik orang Islam dan tanda penghargaan kepada masyarakat atas sokongan kepada perniagaan walaupun ketika perintah kawalan pergerakan.

Selain daripada sumbangan zakat korporat, setiap tahun, dianggarkan lebih 7,000 aktiviti kemasyarakatan berjaya dianjurkan di bawah Program Komuniti McDonald's dan RMHC membabitkan restoran McDonald's di seluruh negara.

Antara program yang berjaya dilaksanakan adalah sumbangan pek makanan kepada petugas barisan hadapan, warga emas di pusat jagaan orang tua di seluruh negara bersempena Tahun Baharu Cina dan tajaan moreh di masjid berdekatan dengan restoran McDonald's di bulan Ramadan.

Berita Harian X