Khamis, 3 March 2022 | 3:59pm
Kesan tanah runtuh dipenuhi kayu yang hanyut selepas hujan lebat sejak beberapa hari lalu berdekatan Empangan Hidro di Stesen Janakuasa Kenyir Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Jenagor. - NSTP/GHAZALI KORI
Kesan tanah runtuh dipenuhi kayu yang hanyut selepas hujan lebat sejak beberapa hari lalu berdekatan Empangan Hidro di Stesen Janakuasa Kenyir Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Jenagor. - NSTP/GHAZALI KORI

Gelinciran tanah, aliran puing punca sisa kayu hanyut

KUALA TERENGGANU: Kesan kemusnahan besar akibat banjir di Hulu Terengganu pada Ahad lalu, adalah disebabkan gelinciran tanah dan aliran puing bersaiz sederhana di cerun Sungai Terengganu berhampiran Stesen Janakuasa Hidroelektrik Sultan Mahmud (SJHSM) di Kenyir.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata siasatan Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu di sepanjang Sungai Terengganu berhampiran empangan SJHSM itu kelmarin mendapati, tiada aktiviti pembalakan dijalankan di kawasan kejadian.

"Gelinciran tanah menyebabkan kejadian tanah runtuh yang membawa sisa-sisa kayu, debris (serpihan) dan tumbuhan hanyut dikenali sebagai puing.

"Ini disebabkan faktor hujan lebat selama lima hari berturut-turut mulai 23 Februari sehingga 27 Februari yang mencecah 1,000 mm (milimeter).

"Gelinciran tanah runtuh dianggar bersaiz panjang 100 meter, lebar 50 meter dan tebal lima hingga 10 meter manakala aliran puing yang bergerak dari puncak bukit hingga ke Sungai Terengganu ada yang mencapai sehingga 300 meter panjang," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan menerusi laman Facebook, hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, mesyuarat penyelarasan pascabencana dijalankan dan kerja pembersihan sisa kayu giat dilakukan oleh pelbagai agensi berkaitan.

"Pemantauan melalui udara dan rondaan dari semasa ke semasa dijalankan bagi mengawasi keadaan.

"Semoga kenyataan ini dapat menjelaskan dan menjernihkan isu yang berlegar sehari dua ini dalam media sosial," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X