Rabu, 2 March 2022 | 6:27pm
Pelajar SMK Zainab 1 memeriksa suhu badan sebelum memasuki sekolah untuk menduduki SPM hari ini. - FOTO NSTP/ NIK ABDULLAH NIK OMAR
Pelajar SMK Zainab 1 memeriksa suhu badan sebelum memasuki sekolah untuk menduduki SPM hari ini. - FOTO NSTP/ NIK ABDULLAH NIK OMAR

597 tak duduki SPM di Kelantan kerana COVID-19

KOTA BHARU: Seramai 597 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Kelantan tidak dapat menduduki peperiksaan itu yang bermula hari ini disebabkan status positif COVID-19, selain perlu menjalani tempoh kuarantin disebabkan kontak rapat.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan berkata, sehingga jam 4.45 petang ini, 247 daripada calon SPM menjalani tempoh kuarantin, manakala 350 calon lagi disahkan positif COVID-19.

Katanya, semua calon akan dibenarkan menduduki peperiksaan bagi sesi kedua mengikut penjadualan semula.

"Pada hari ini juga, seramai 27,372 calon SPM di seluruh negeri membabitkan 283 pusat peperiksaan mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM bermula hari ini," katanya.

Media semalam melaporkan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, turut memaklumkan tujuh sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang, SMK Gual Periok, SMK Baroh Pial, Sekolah Menengah Agama Maahad Muhammadi Rantau Panjang, SMK Meranti, Sekolah Menengah Ugama (SMU) Al-Falah Siram dan SMU Khairiah Banggol Setol, ditutup susulan banjir di pusat peperiksaan itu.

Berita Harian X