Rabu, 2 March 2022 | 5:39pm

'Pembalakan berlaku di puncak bukit Empangan Kenyir'

KUALA TERENGGANU: Penduduk di beberapa kampung di Mukim Tersat mendakwa berlaku aktiviti pembalakan di Bukit Rasok berhampiran Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud (SJSM) yang menjadi antara punca berlaku runtuhan tanah di struktur empangan.

Seorang penduduk, Ghazali Abd Rahman, 63, dari Kampung Jenagor, Kuala Berang, berkata aktiviti pembalakan di puncak Bukit Rasok, dihentikan sejak akhir tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, hujan lebat yang melanda sejak Sabtu lalu menyebabkan berlaku runtuhan tebing bukit sehingga kayu balak dan sisa balak turut terjatuh ke dalam Tasik Kenyir dan dihanyutkan arus.

"Akibat runtuhan tebing bukit menyebabkan kayu balak dan sisa hutan turut terjatuh dan dihanyutkan arus.

"Runtuhan tanah di sebelah kanan Empangan Kenyir mungkin berpunca daripada pergerakan tanah berikutan hujan lebat berterusan sehingga Isnin lalu," katanya kepada media di Kampung Jenagur, di sini, hari ini.

Semalam, Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Telemong, Datuk Rozi Mamat mendakwa ratusan ribu batang balak dan sisa hutan dihanyutkan arus di beberapa kawasan sekitar Tasik Kenyir sejak Isnin lalu.

Rozi yang juga Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu mendesak kerajaan negeri dan Jabatan Perhutanan segera menyiasat kes balak dan kayu hanyut yang berlaku sejak Isnin lalu itu.

Mengulas lanjut, Ghazali berkata, kejadian balak dan sisa hanyut berpunca daripada runtuhan tebing bukit itu menyebabkan penduduk di beberapa kampung di Mukim Tersat berada dalam kebimbangan, terutama membabitkan keselamatan.

Katanya, sejak balak dan sisa dihanyutkan arus itu diviralkan melalui pelbagai laman sosial, belum ada pihak bertanggungjawab tampil menjelaskan situasi sebenar.

"Pihak yang bertanggungjawab diminta menerangkan keadaan sebenar mengenai runtuhan tanah di Empangan Kenyir dan tidak menyembunyikan fakta kepada masyarakat," katanya.

Tanah runtuh menyebabkan balak hanyut selepas hujan lebat sejak beberapa hari lalu berdekatan Empangan Hidro SJSM di Jenagor. NSTP/GHAZALI KORI
Tanah runtuh menyebabkan balak hanyut selepas hujan lebat sejak beberapa hari lalu berdekatan Empangan Hidro SJSM di Jenagor. NSTP/GHAZALI KORI
Berita Harian X