Rabu, 2 March 2022 | 3:15pm
.Pegawai Pendidikan Daerah Pekan, Mohd Razali Mustafar ketika meninjau perjalanan SPM di SMK Dato' Mahmud Mat. - FOTO NSTP/ MOHD RAFI MAMAT
.Pegawai Pendidikan Daerah Pekan, Mohd Razali Mustafar ketika meninjau perjalanan SPM di SMK Dato' Mahmud Mat. - FOTO NSTP/ MOHD RAFI MAMAT

39 calon SPM di Pekan positif COVID-19

PEKAN: Seramai 39 pelajar di empat sekolah menengah di daerah ini tidak dapat menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula hari ini, selepas disahkan positif COVID-19.

Mereka perlu menjalani tempoh kuarantin ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengelak wabak berkenaan terus merebak.

Pegawai Pendidikan Daerah Pekan, Mohd Razali Mustafar berkata, pelajar yang terpaksa menjalani kuarantin akan mengikuti penjadualan semula SPM seperti ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM).

Beliau berkata, pihaknya tidak boleh membenarkan pelajar terbabit menduduki SPM seperti ditetapkan kementerian, bagi mengelak penularan tidak terkawal apabila calon berada dalam dewan peperiksaan dan bergaul sesama mereka.

Katanya, apabila pelajar disahkan positif secara automatik mereka tidak dibenarkan menduduki peperiksaan bermula hari ini.

"Dalam kes ini kita perlu mengikut arahan kementerian yang sentiasa mementingkan kesihatan dan keselamatan pelajar. Wabak COVID-19 tidak boleh diambil mudah kerana ia memberi kesan bahaya pada manusia.

"Di daerah ini terdapat 1,438 pelajar daripada 16 sekolah menengah menduduki SPM bermula hari ini," katanya selepas meninjau perjalanan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Mahmud Mat, hari ini.

Mohd Razali mengakui bukan hanya pelajar, malah guru yang terbabit dengan SPM sebagai pengawas turut tertekan kerana mereka juga terdedah wabak COVID-19 yang mungkin dibawa calon.

Justeru, pihaknya menetapkan calon SPM bergejala supaya membuat ujian sebelum mereka dibenar masuk ke dewan peperiksaan, bagi membendung penularan wabak.

"Saya harap jumlah calon SPM daerah ini yang positif COVID-19 tidak terus bertambah bagi mengelak pelajar tidak berpeluang menduduki peperiksaan.

"Justeru kerjasama mereka yang bergejala untuk memaklumkan kepada pengawas peperiksaan amat dialu-alukan," katanya.

Di Pahang terdapat 43 calon SPM disahkan positif COVID-19.

Berita Harian X