Rabu, 2 March 2022 | 2:23pm
Calon Perikatan Nasional (PN), Pilihanraya Negeri (PRN) Johor, N36 Sediili, Mohd Hasnolhadi Mohd Sebalas. Foto ihsan Perikatan Nasional
Calon Perikatan Nasional (PN), Pilihanraya Negeri (PRN) Johor, N36 Sediili, Mohd Hasnolhadi Mohd Sebalas. Foto ihsan Perikatan Nasional

PN yakin gugat BN di kubu Sedili

KOTA TINGGI: Perikatan Nasional (PN) yakin mampu memberi cabaran berbekalkan 'senjata' tersendiri dalam menggempur kubu kuat Barisan Nasional (BN) di Sedili.

Calon PN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sedili, Mohd Hasnolhadi Mohd Sebalas, berkata perubahan dunia politik pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menyaksikan setiap parti mempunyai pengaruh dan kelebihan tersendiri.

Beliau berkata, perubahan semasa itu lebih ketara susulan pertambahan pengundi muda yang bakal menjalankan tanggungjawab mereka buat julung kalinya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15 Johor pada 12 Mac depan.

"Saya menghormati hakikat bahawa Sedili ini ialah kerusi turun temurun Barisan Nasional (BN), tetapi nak kata mereka gagah, tidak boleh juga.

"Ini kerana setiap pesaing di Sedili mempunyai kekuatan dan kehebatan masing-masing, justeru saya rasa cabaran kepada BN itu pasti ada.

"Dengan peningkatan daftar pemilih dalam kalangan pengundi muda berusia 18 tahun hingga 20 tahun, saya rasa persaingan daripada parti lain tidak boleh dipandang enteng," katanya kepada BH.

Pasca penamaan calon Sabtu lalu, DUN Sedili menyaksikan persaingan empat penjuru, iaitu Mohd Hasnolhadi, Tariq Ismail Mustafa (Parti Pejuang Tanahair), Mat Khairi Samsudin (Pakatan Harapan) dan Muszaide Makmor (BN).

Mohd Hasnolhadi, yang menggunakan jolokan nama 'Abang Hasnol' berkata, agenda perjuangan PN di Sedili terarah kepada aspek kesempurnaan hidup.

Dihimpit dengan tekanan ekonomi dan pelbagai kesan 'tempias' pandemik COVID-19, beliau yang juga Ketua ARMADA Bahagian Kota Tinggi berkata, ramai penduduk tempatan berdepan nasib kehilangan pekerjaan dan kekurangan pendapatan sekeluarga.

"Kelebihan saya ialah apabila berusia 35 tahun ini, ia seakan-akan berada di tengah-tengah iaitu antara golongan muda dan warga lebih berumur.

"Kalau kita selami dengan keadaan cabaran ekonomi sekarang, orang muda sebenarnya lagi tertekan berbanding mereka yang lebih berusia.

"Saya ingin tawarkan aspek kesempurnaan hidup, dengan cara memacu aktiviti ekonomi yang dapat menjana pendapatan penduduk setempat.

"Ambil contoh saya sendiri yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak, tetapi masih menumpang dengan ibu bapa. Justeru wujud keperluan untuk kita tingkatkan sosioekonomi masyarakat, khususnya golongan muda," katanya.m: Junita

Berita Harian X