Rabu, 2 March 2022 | 1:49pm
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin (dua, kiri), bersama pengetua, Rosland Mohd Yusof (kiri), bertanyakan keadaan kesihatan pelajar, Zahiruddin Zulkarnain, yang mengalami kemalangan semalam, ketika melakukan lawatan sempena hari pertama Peperiksaan SPM 2021 di Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Masai 2, Pasir Gudang. NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Tahan sakit jawab kertas SPM

PASIR GUDANG: Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di sini tetap cekal menduduki hari pertama peperiksaan walaupun terpaksa menahan kesakitan luka kemalangan petang semalam.

Zahiruddin Zulkarnain, 18, yang cedera pada siku dan pinggang belum sempat mendapatkan rawatan, sebaliknya nekad menduduki subjek Bahasa Melayu Kertas 1 dan Kertas 2, hari ini.

"Memang masih sakit terutama pinggang sebelah kiri, tetapi kertas ini penting dan saya tidak mahu gagal dalam SPM.

"Cabarannya ialah saya perlu berhenti rehat dan baring sekejap kerana tidak boleh duduk lama menjawab soalan.

"Alhamdulillah, setakat ini saya berjaya menjawab semua soalan dengan baik," katanya ditemui selepas tamat waktu menjawab Bahasa Melayu Kertas 1 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Masai 2, Taman Kota Masai di sini, hari ini.

Zahiruddin dalam perjalanan bertemu saudaranya di Stulang sebelum tergelincir di Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Timur (EDL) selepas hampir dihimpit dua kenderaan.

"Ketika itu cuaca hujan, saya di tengah-tengah antara kereta dan lori muatan besar, jadi saya tekan brek mengejut dan tergelincir.

"Mujurlah saya tidak digilis kenderaan dari belakang kerana sempat bangkit dengan cepat.

"Saya belum sempat ke klinik semalam dan pagi ini terus ke sekolah menduduki peperiksaan. Insya-Allah, selepas selesai kertas hari ini, saya akan mendapatkan rawatan," katanya.

Beliau adalah antara 50,317 calon di Johor daripada 407,057 calon di seluruh negara yang mula menduduki peperiksaan SPM 2021 di 3,000 pusat peperiksaan, hari ini.

Berita Harian X