Rabu, 2 March 2022 | 12:48pm
Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Selangor akan diteruskan sepanjang Mac, bagi memberi lebih pilihan dan membantu rakyat berjimat.- Foto fail NSTP
Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Selangor akan diteruskan sepanjang Mac, bagi memberi lebih pilihan dan membantu rakyat berjimat.- Foto fail NSTP

Program Jualan Keluarga Malaysia di Selangor diteruskan sepanjang Mac

SHAH ALAM: Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Selangor sejak Disember lalu, sehingga 27 Februari mencatatkan hasil jualan sebanyak RM4,587,968.95.

Pengarah Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, PJKM yang diadakan sebanyak 94 kali itu memberi manfaat kepada 234,109 pengguna di seluruh Selangor.

Katanya, inisiatif kendalian KPDNHEP yang membantu meringankan beban kumpulan isi rumah berpendapatan rendah di Selangor itu, akan diteruskan sepanjang Mac ini, pada setiap hari Sabtu dan Ahad di lokasi strategik serta mudah diakses.

"Senarai lokasi PJKM boleh dirujuk pada setiap hari Jumaat menerusi hantaran (posting) di Laman Rasmi Facebook KPDNHEP Selangor.

"PJKM menawarkan lebih pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian, dengan harga sehingga 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhamad Zikril Azan berkata, antara barang yang dijual pada program ini adalah ayam, telur ayam, ikan, sayur-sayuran, barangan kering (bawang, cili kering dan seumpamanya), gula, minyak masak, tepung gandum, beras, makanan dalam tin dan barangan proses.

Katanya, program itu digerakkan secara kerjasama antara KPDNHEP Selangor bersama agensi kerajaan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

"Pada masa sama, pembabitan rakan strategik meliputi pemain industri peruncitan utama di Selangor sebagai tanda sokongan untuk menjayakan inisiatif PJKM dalam menangani situasi pergerakan harga barangan yang mencabar kepada pengguna di Selangor khususnya.

"Kita berharap PJKM Selangor dapat menjadi pemangkin kepada pengguna untuk merancang pembelian dan membuat pilihan yang bijak serta mengurangkan bebanan perbelanjaan isi rumah.

"Pegawai penguat kuasa KPDNHEP Selangor akan terus melaksanakan pemantauan dan pemeriksaan bagi memastikan bekalan sentiasa stabil dan bebas elemen pencatutan," katanya.

Berita Harian X