Rabu, 2 March 2022 | 9:51am

Calon positif, kontak rapat duduki SPM April

PASIR GUDANG: Ibu bapa dan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang positif COVID-19, kuarantin dan kontak rapat tidak perlu bimbang berikutan masih berpeluang menduduki peperiksaan itu pada sidang kedua, bulan depan.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, berkata walaupun lewat sebulan daripada calon SPM lain, mereka yang mempunyai alasan munasabah berkenaan masih tetap dibenarkan menduduki peperiksaan itu.

Katanya, calon hanya perlu mengemukakan borang deklarasi, pengesahan pengetua dan maklumat MySejahtera untuk membuktikan mereka dalam tiga situasi berkenaan.

"Pihak kementerian sudah jelaskan beberapa kali sekiranya murid (pelajar) ini didapati positif maka mereka perlu maklumkan kepada pihak sekolah, maknanya mereka kena buat dalam surat deklarasi itu menulis sama ada mereka positif ataupun mereka maklumkan (pihak sekolah), pengetua akan sahkan sama ada benar murid itu positif atau tunjukkan bukti daripada MySejahtera.

"Jadi calon yang positif ini tak perlu risau kerana apabila mereka positif dan disahkan oleh pengetua atau ada deklarasi ataupun ada bukti daripada MySejahtera itu, maka mereka boleh menduduki peperiksaan dalam sidang kedua yang akan dilaksanakan pada April nanti.

"Begitu juga dengan calon kontak rapat boleh menunjukkan tiga perkara itu serta calon yang terkesan dengan banjir seperti di Kelantan, juga dibenarkan menduduki peperiksaan pada sidang kedua kerana kekangan pusat peperiksaan ditutup dan situasi semasa di sana," katanya pada sidang media selepas meninjau pelaksanaan SPM 2021 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Masai 2, Taman Kota Masai di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian, menjawab dakwaan ibu bapa berikutan ada calon SPM yang menjadi kontak rapat dilarang menduduki Bahasa Melayu Kertas 1, Pendidikan Seni Visual Kertas 1 dan Bahasa Melayu Kertas 2, hari ini.

Radzi berkata, seramai 50,317 calon Johor daripada 407,057 jumlah calon seluruh negara layak menduduki SPM 2021 di 3,000 pusat peperiksaan.

Dalam pada itu katanya, walaupun 147 sekolah menengah akan dijadikan pusat mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, pihaknya memberi jaminan ia tidak akan menganggu proses perjalanan SPM.

"Seboleh-bolehnya memang kita tidak mahu sekolah dijadikan pusat mengundi, namun atas kekangan tertentu kita dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berbincang dan membuat keputusan 147 sekolah di bawah Kementerian Pendidikan terpaksa dibuat sebagai pusat mengundi.

"Alhamdulillah, kita dapat kerjasama baik daripada SPR supaya bilik digunakan untuk peperiksaan tidak digunakan sebagai bilik mengundi supaya dapat memastikan peperiksaan SPM berjalan lancar dan teratur," katanya.

Antara calon peperiksaan yang hadir hari pertama Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Masai 2, Pasir Gudang. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Antara calon peperiksaan yang hadir hari pertama Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Masai 2, Pasir Gudang. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Berita Harian X