Selasa, 1 March 2022 | 7:58pm

Banjir di Pasir Mas akibat aliran bah di selatan Thailand

RANTAU PANJANG: Banjir besar yang berlaku di daerah Pasir Mas berpunca daripada aliran air bah yang melanda lima wilayah di selatan Thailand.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata ia sekali gus menyangkal kenyataan segelintir penduduk yang mendakwa banjir besar berlaku susulan projek benteng Projek Fasa Satu Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok (KESBAN).

"Malah, pembinaan lembangan sungai ini sebenarnya dapat mengurangkan impak banjir daripada menjadi lebih teruk. Justeru, kementerian cuba memastikan setiap fasa projek dapat disegerakan supaya tidak menjejaskan penduduk setempat selepas ini.

"Fasa pertama dijangka siap tahun depan, pada masa sama kementerian juga sudah meluluskan projek fasa dua dengan nilai RM265 juta untuk pembinaan dinding cegah banjir di Rantau Panjang.

'Untuk perkembangan projek berkenaan, ia kini dalam proses mereka bentuk supaya dapat dilaksanakan dengan hasil terbaik, selain kita meneruskan projek melengkapkan lebaran sungai di sepanjang Sungai Golok," katanya pada sidang media di Pusat Bantuan Asnaf Rantau Panjang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff.

Tuan Ibrahim berkata, nasib penduduk yang terkesan banjir terutama di Kampung Tersang, di sini, akan terus diberi perhatian, selain kementerian turut berbincang dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi membantu mempercepatkan proses air surut.

"Kita akan bawa pam untuk membantu penduduk mengepam air daripada bertakung lama di kawasan rumah mangsa, sekali gus mengelak berlaku banjir termenung.

"Bagaimanapun, kita berharap air Sungai Golok tidak berada di paras tinggi bagi memudahkan proses berkenaan kerana air perlu dipam keluar ke sungai terbabit," katanya.

Tuan Ibrahim (kiri) bersama Siti Zailah (kanan) melancarkan Dapur Rakyat Khidmat Malaysia ketika hadir di Pusat Bantuan Asnaf Rantau Panjang, hari ini. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Tuan Ibrahim (kiri) bersama Siti Zailah (kanan) melancarkan Dapur Rakyat Khidmat Malaysia ketika hadir di Pusat Bantuan Asnaf Rantau Panjang, hari ini. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X