Selasa, 1 March 2022 | 2:46pm
Guru dan kakitangan di SMK Tengku Ampuan Intan di Kuala Berang membersihkan ruang dewan sekolah yang terjejas banjir sebagai persediaan menghadapi SPM yang akan bermula esok - FOTO NSTP/ GHAZALI KORI
Guru dan kakitangan di SMK Tengku Ampuan Intan di Kuala Berang membersihkan ruang dewan sekolah yang terjejas banjir sebagai persediaan menghadapi SPM yang akan bermula esok - FOTO NSTP/ GHAZALI KORI

84 calon SPM SMK Air Putih dipindahkan ke pusat peperiksaan baharu

KEMAMAN: Seramai 84 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Putih, di sini, yang terjejas akibat banjir, dipindahkan ke SMK Cheneh Baru, semalam.

Pegawai Pendidikan Daerah Kemaman, Idris Bidin berkata, ia itu bagi memastikan tahap keselamatan dan keselesaan mereka terbaik sebelum masing-masing menduduki peperiksaan awam itu mulai esok.

Katanya, selain 39 yang menginap di asrama sekolah, baki adalah membabitkan pelajar yang tinggal di kediaman keluarga masing-masing yang turut dipindahkan ke asrama SMK Cheneh Baru, bagi memastikan mereka dapat menghadiri peperiksaan dengan selamat.

"Kita mengambil kira aspek keselamatan dan kesukaran pelajar jika berulang-alik dari rumah ke sekolah dalam situasi banjir. Oleh itu semua calon kita tempatkan di asrama SMK Cheneh Baru," katanya.

Beliau berkata, seramai 2,701 calon SPM daerah Kemaman membabitkan 25 pusat peperiksaan termasuk pusat peperiksaan di Hospital Kemaman sentiasa dipantau bagi memastikan mereka dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan selamat dan mengikut waktu peperiksaan ditetapkan.

"Bagi yang menginap di pusat pemindahan sementara (PPS), kita sedang mengumpul data untuk membantu mereka.

"Justeru, calon di PPS atau rumah yang terjejas banjir disaran berhubung terus guru sekolah masing-masing ataupun Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi urusan pengangkutan dan sebagainya.

"Bagi calon yang terganggu emosi, pihak sekolah dan PPD sentiasa memberikan sokongan dan motivasi melalui pelbagai medium," katanya mengakui situasi terkini ujian buat calon SPM selepas diuji wabak pandemik.

Semalam, operasi pemindahan calon SPM SMK Air Putih ke SMK Cheneh Baru dengan jarak 23 kilometer dilakukan pihak polis dan anggota tentera menggunakan dua lori selepas asrama dihuninya dinaiki air sedalam 0.5 meter sejak Ahad lalu.

Kelmarin, 233 calon SPM Sekolah Menengah Agama Mahmudiah Kuala Berang, Madrasah Moden Hulu Terengganu dan Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Berang dipindahkan ke tiga pusat peperiksaan baharu selepas asrama dihuni dinaiki air lebih dua meter sejak Sabtu lalu.

Berita Harian X