Selasa, 1 March 2022 | 1:09pm

Banjir di Terengganu belum surut

KUALA TERENGGANU: Seramai 17,507 mangsa banjir daripada 4,477 keluarga masih ditempatkan di 117 pusat pemindahan sementara (PPS), setakat jam 12 tengah hari.

Jumlah itu menurun sedikit berbanding seramai 17,742 orang daripada 4,557 keluarga di 141 PPS di lapan daerah pagi tadi.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, seramai 8,316 mangsa daripada 2,126 keluarga masih berada di 28 PPS di Kemaman.

Itu pertambahan berbanding hanya 8,027 mangsa daripada 2,055 keluarga di 27 PPS, jam 8 pagi tadi.

Jumlah mangsa di Hulu Terengganu juga meningkat kepada 3,706 mangsa daripada 805 keluarga.

Sebelum ini, sebanyak 801 keluarga membabitkan 3,700 mangsa dipindahkan ke 21 PPS.

Turut menunjukkan pertambahan mangsa di daerah Dungun apabila 29 PPS masih diaktifkan bagi menempatkan seramai 897 keluarga, membabitkan 3,106 orang yang terjejas.

Jumlah mangsa di Besut menurun selepas beberapa individu dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing secara berperingkat.

Ketika ini, seramai 569 mangsa daripada 151 keluarga berada di 10 PPS, berbanding 242 keluarga membabitkan 908 mangsa ditempatkan di 26 PPS, pagi tadi.

Di Setiu, jumlah mereka yang terjejas turut berkurangan kepada 553 mangsa di 13 PPS sementara di Kuala Terengganu, sebanyak 184 keluarga membabitkan 709 mangsa berada di sembilan PPS.

Di Kuala Nerus pula, seramai 543 mangsa yang terjejas dipindahkan ke enam PPS, manakala di Marang, tiada pertambahan mangsa direkodkan dengan lima beranak berada di sebuah PPS.

Zazarinah Kassim, 46 (kanan) membersihkan rumahnya di Kampung Bukit Gemuruh, Hulu Terengganu. - Foto NSTP/GHAZALI KORI
Zazarinah Kassim, 46 (kanan) membersihkan rumahnya di Kampung Bukit Gemuruh, Hulu Terengganu. - Foto NSTP/GHAZALI KORI

Sukarelawan bantuan berdepan detik cemas terkandas dalam banjir di Hulu Besut. - Foto NSTP/ NURUL FATIHAH SULAIN
Sukarelawan bantuan berdepan detik cemas terkandas dalam banjir di Hulu Besut. - Foto NSTP/ NURUL FATIHAH SULAIN
Berita Harian X