Selasa, 1 March 2022 | 9:58am
Paras air di kebanyakan sungai utama di Terengganu menunjukkan trend penurunan. - Foto NSTP/Ghazali Kori
Paras air di kebanyakan sungai utama di Terengganu menunjukkan trend penurunan. - Foto NSTP/Ghazali Kori

Dua sungai di Terengganu masih di paras bahaya

KUALA TERENGGANU: Hanya dua sungai utama di Terengganu masih melepasi paras bahaya setakat jam 9 pagi tadi.

Selain itu, satu sungai lagi direkodkan melepasi paras amaran manakala empat lagi mencatatkan bacaan melebihi paras waspada.

Ketika ini, paras air di kebanyakan sungai utama di Terengganu menunjukkan trend penurunan.

Berdasarkan laman web rasmi Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, sungai yang melepasi paras bahaya adalah Sungai Dungun di Jambatan Jerangau, Dungun dengan bacaan 13.77 meter (m) berbanding paras normal 5m.

Turut melepasi paras bahaya adalah Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman, Kemaman dengan bacaan 6.50m.

Sementara itu, Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu yang berada pada paras 12.85m direkodkan melepasi paras amaran.

Empat sungai yang melepasi paras waspada adalah dua sungai di Setiu serta masing-masing satu di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

Di Setiu, Sungai Nerus di Kampung Langkap, (19.84 m) dan Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri (7.77m) kini direkodkan melepasi paras waspada.

Turut melepasi paras waspada adalah Sungai Terengganu di Muzium Terengganu, Kuala Terengganu yang berada pada paras 1.63m dan Sungai Nerus di Kampung Jeram, Kuala Nerus yang mencatatkan bacaan 2.23m.

Berita Harian X