Selasa, 1 March 2022 | 8:46am
Sukarelawan bersama anggota APM menaiki bot membantu menyelamat dan memindahkan mangsa banjir di Terengganu yang semakin meningkat. - Foto NSTP/Ghazali Kori
Sukarelawan bersama anggota APM menaiki bot membantu menyelamat dan memindahkan mangsa banjir di Terengganu yang semakin meningkat. - Foto NSTP/Ghazali Kori

17,742 mangsa banjir di Terengganu

KUALA TERENGGANU: Mangsa banjir di Terengganu terus menunjukkan peningkatan apabila seramai 17,742 orang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri.

Sebanyak 141 PPS dibuka bagi menempatkan kesemua mangsa daripada 4,557 keluarga.

Malam tadi, seramai 15,398 mangsa daripada 3,965 keluarga ditempatkan di 139 PPS.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Kemaman masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi yang terjejas menerusi bah yang melanda Terengganu sejak Jumaat.

Ketika ini, seramai 8,027 mangsa daripada 2,055 keluarga berada di 27 PPS di Kemaman.

Di Hulu Terengganu, sebanyak 801 keluarga membabitkan 3,700 mangsa dipindahkan ke 21 PPS.

Mangsa banjir di Dungun kini direkodkan seramai 2,988 orang daripada 873 keluarga berada di 29 PPS.

Di Besut, sebanyak 242 keluarga membabitkan 908 mangsaditempatkan di 26 PPS manakala 21 PPS masih dibuka di Setiu bagi menempatkan 848 mangsa daripada 252 keluarga.

Sembilan PPS diaktifkan di Kuala Terengganu dengan 728 mangsa daripada 188 keluarga masih berada di PPS berkenaan.

Di Kuala Nerus pula, seramai 538 mangsa yang terjejas dipindahkan ke tujuh PPS manakala di Marang, tiada pertambahan mangsa direkodkan dengan lima beranak berada di sebuah PPS.

Berita Harian X