Isnin, 28 Februari 2022 | 5:13pm
Calon bagi DUN Sedili mengundi bagi menentukan nombor calon yang akan dicetak pada kertas pengundian. - Foto fail NSTP
Calon bagi DUN Sedili mengundi bagi menentukan nombor calon yang akan dicetak pada kertas pengundian. - Foto fail NSTP

BN tekad ambil semula Sedili

KOTA TINGGI: Barisan Nasional (BN) bertekad mengukuhkan semula kedudukan di Sedili dan menebus hak kerusi mereka, untuk merungkai beberapa isu setempat.

Calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sedili, Muszaide Makmor, berkata perancangan awal untuk membangunkan kawasan yang terkenal dengan sumber makanan laut itu tergendala berikutan tindakan 'lompat' parti oleh penyandang kerusi berkenaan.

Sehubungan itu, katanya, BN akan merintis usaha semaksimum mungkin menerusi jentera di setiap peringkat bahagian dan cawangan untuk memastikan kemenangan memihak kepada 'dacing'.

"Memang iltizam kami untuk ambil semula hak di Sedili selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terdahulu beralih angin untuk bersama dalam kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Kerusi ini memang hak UMNO dan BN, justeru, mereka tidak perlu mengatakan bahawa beliau menang kerana keluarga, anak murid dan sebagainya kerana semuanya atas usaha jentera.

"Justeru, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini, BN dan UMNO akan bertapak semula kerana kita ada perancangan rapi untuk Sedili," katanya kepada BH.

Pada PRU-14, Rasman Ithnain, yang bertanding menerusi tiket BN memenangi DUN Sedili dengan majoriti 9,168 undi, mengetepikan pesaingnya, Abd Razak Esa daripada PKR.

Rasman kemudian mengambil keputusan untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada Mei 2018, bersama dua lagi ADUN di Johor, Rosleli Jahari (Johor Lama) dan Alwiyah Talib (Endau).

Muszaide berkata, Sedili mempunyai beberapa masalah besar yang belum selesai, termasuk gangguan bekalan air ketika musim kemarau.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Tinggi berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan seorang penyelidik kajian mengenai cadangan pembinaan loji, empangan atau zon takungan air di Sedili.

"Bila kawasan tadahan air semakin diterokai berikutan kegiatan pertanian kelapa sawit, ia memberi kesan terhadap kelangsungan bekalan air di Sedili.

"Perkara kedua yang ingin saya perjuangkan ialah mengenai muara Sungai Sedili, yang sebelum ini menempatkan banyak bot besar, tetapi kini berdepan masalah kerana semakin tohor.

"Isu perumahan bagi generasi FELDA juga harus diselesaikan secepat mungkin bagi memberikan keselesaan kepada mereka dan mengurangkan kadar penghijrahan ke kota," katanya.

Selain itu, Muszaide berkata, beliau juga memberi tumpuan pada aspek sosioekonomi FELDA dan kawasan setempat untuk manfaat penduduk.

DUN Sedili menyaksikan pertembungan empat penjuru, membabitkan calon Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Tariq Ismail Mustafa; Mohd Hasnolhadi Mohd Sebalas (Perikatan Nasional), Mat Khairi Samsudin (Pakatan Harapan) dan Muszaide.

Berita Harian X