Isnin, 28 Februari 2022 | 2:58pm
Calon SPM menaiki bot untuk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara semalam. Foto ihsan pembaca
Calon SPM menaiki bot untuk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara semalam. Foto ihsan pembaca

'Doakan kami' - calon SPM sedih terjejas banjir

KUALA TERENGGANU: "Emosi saya sedikit terganggu untuk menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal bermula Rabu ini kerana terjejas dengan banji inir," demikian reaksi calon SPM, Madrasah Moden Yayasan Terengganu, Kuala Berang, Nur Anisah Maisarah Abd Wahab, 18.

Nur Anisah Maisarah Abd Wahab, mohon doa daripada rakyat Malaysia. Foto ihsan pembaca
Nur Anisah Maisarah Abd Wahab, mohon doa daripada rakyat Malaysia. Foto ihsan pembaca

Katanya, dia juga hilang semangat untuk mengulang kaji pelajaran terutama selepas terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), Dewan Majlis Daerah Kuala Berang, petang semalam berikutan asrama dihuninya di Sekolah Menengah Agama Mahmudiah (SMA Mahmudiah) ditenggelami air banjir lebih dua meter.

"Sejujurnya, kini saya kurang bersemangat untuk mengulang kaji pelajaran, tambahan pula buku dan nota untuk ulang kaji tidak sempat di bawa bersama ke pusat pemindahan kerana perlu berpindah dengan segera semalam.

Calon SPM menaiki bot untuk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara semalam. Foto ihsan pembaca
Calon SPM menaiki bot untuk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara semalam. Foto ihsan pembaca

"Saya juga dimaklumkan beberapa buku dan nota untuk kami membuat persediaan sebelum memasuki dewan peperiksaan SPM turut dihanyutkan air banjir.

"Bukan itu sahaja, saya hanya sempat bawa beberapa pasang pakaian yang sempat dicapai sahaja kerana saya fikirkan banjir hanya sehari dua sahaja dan selepas ini dapat kembali ke asrama, tapi saya dimaklumkan air semakin naik menyebabkan kami terpaksa 'berkampung' lagi di PPS.

"Begitu juga dengan rakan saya, ada yang tidak sempat bawa kad pengenalan dan kelengkapan peperiksaan," katanya yang berharap air banjir cepat surut bagi membolehkan dia kembali ke asrama.

Calon SPM di SMA Mahmudiah, Muhammad Airiel Idham Ahmad Rafhan, 18, mengakui emosinya kini terganggu kerana terkejut dengan situasi banjir besar itu yang kali pertama berlaku sepanjang belajar di sekolah berkenaan.

"Emosi saya memang terganggu sebab banjir berlaku secara tiba-tiba tanpa sebarang persediaan ketika peperiksaan berbaki sehari lagi.

"Lebih terharu, saya juga tidak sempat bawa buku dan nota untuk membuat ulangkaji kerana perlu bertindak pantas berpindah kerana air banjir naik begitu cepat, hanya beberapa buah buku dan beberapa helai baju t-shirt sahaja yang sempat dibawa ketika menaiki bot semalam manakala baju sekolah tidak sempat dibawa.

"Saya harapkan seluruh rakyat Malaysia dapat mendoakan kami selamat dan berjaya dalam peperiksaan SPM nanti kerana saya percaya ada hikmah di sebalik perkara terjadi ini selepas diuji dengan wabak pandemik Covid-19 sebelum ini," katanya.

Bagi calon SPM Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Berang, Alif Zubairi, 18, berkata dia hanya sempat bawa sebuah sahaja buku untuk membuat ulangkaji serta tiga helai baju t-shirt, manakala baju sekolah tidak sempat dibawa.

"Bermula petang semalam, kami terpaksa redah banjir dengan menaiki bot walaupun cuaca semakin gelap dan hujan, baju sekolah tidak sempat bawa, begitu juga kelengkapan peperiksaan yang lain, kami hanya fikir nak selamat diri dan rakan-rakan.

"Alhamdulillah kami bersyukur semuanya selamat, ini pengalaman baharu kami kerana terpaksa dipindahkan ke PPS, ini juga ujian kepada kami sebagai penghapus dosa sebelum memasuki dewan peperiksaan nanti.

"Buat seluruh rakyat Malaysia, doakan kami berjaya walaupun diuji dengan dugaan besar banjir selepas wabak pandemik Covid-19 yang menyebabkan peperiksaan SPM kami dianjakkan pada Mac tahun ini," katanya yang bakal menduduki peperiksaan SPM Bahasa Melayu mulai Rabu ini.

Semalam seramai 131 calon SPM daripada SMA Mahmudiah Kuala Berang, Mahmudiah; 63 calon Madrasah Moden Yayasan Terengganu Kuala Berang dan 39 calon Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Berang terpaksa dipindahkan menggunakan bot ke PPS Dewan Majlis Daerah Kuala Berang selepas asrama mereka dinaiki air lebih dua meter.

Berita Harian X