Isnin, 28 Februari 2022 | 1:43pm

Pemulihan ekonomi bukti pakej bantuan, rangsangan 2020/2021 berkesan

KUALA LUMPUR: Pemulihan pertumbuhan ekonomi yang berkembang sebanyak 3.1 peratus membuktikan keberkesanan lapan siri pakej bantuan dan rangsangan ekonomi pada 2020 serta 2021 yang bernilai RM530 bilion.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah ekonomi Malaysia pada tahun lalu berkembang 3.1 peratus selepas mengalami penguncupan sebanyak 5.6 peratus pada 2020 akibat pandemik COVID-19.

"Bagi tahun depan, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara diunjurkan terus berkembang kukuh antara 5.5 peratus hingga 6.5 peratus.

"Antara petunjuk pemulihan ekonomi termasuk kadar pengangguran semakin berkurangan dan keadaan pasaran buruh bertambah baik," titah baginda ketika merasmikan istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14, hari ini.

Baginda turut memuji usaha proaktif kerajaan mencerdas dan meningkatkan prestasi pelaburan serta perdagangan negara demi menjana pertumbuhan ekonomi yang lestari hingga mendapat pengiktirafan institusi global.

"Milken Institute Global Opportunity Index 2022 menobatkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan paling menarik bagi pelabur asing dalam kalangan ekonomi Asia Tenggara Baharu Muncul.

"Pencapaian prestasi pelaburan adalah sangat memberangsangkan dengan jumlah pelaburan diluluskan pada 2021 bagi sektor perkilangan dan perkhidmatan di bawah seliaan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bernilai RM220.8 bilion dengan 80,000 peluang pekerjaan baharu turut dicipta bagi bakat tempatan.

"Prestasi perdagangan Malaysia pada 2021 buat kali pertama mencatatkan pencapaian cemerlang iaitu melebihi RM2 trilion. Kerajaan juga mencapai jumlah nilai eksport RM1.24 trilion bagi tahun yang sama," titah baginda.

Sehubungan itu, titah baginda, Malaysia menggariskan sasaran jumlah eksport negara dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) sebanyak RM1.25 trilion menjelang tahun 2025 yang berjaya dicapai empat tahun lebih awal.

"Beta yakin kejayaan ini mencerminkan keyakinan pelabur asing terhadap asas ekonomi dan ekosistem pelaburan negara.

"Menerusi kerangka National Investment Aspirations (NIA) pula, fokus ditumpukan kepada sektor pertumbuhan ekonomi baharu yang dapat menarik pelaburan berimpak tinggi dan berteknologi, selain mencipta peluang pekerjaan berkualiti dan berkemahiran tinggi serta memperkukuh daya saing negara," titah baginda.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan keyakinan ekonomi negara akan mendapat manfaat yang besar melalui perjanjian perdagangan bebas ekonomi serantau dan antarabangsa yang menjadi tunjang kepada sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan.

"Perjanjian Kerjasama Komprehensif Ekonomi Serantau (RCEP) yang diratifikasi akan turut menyediakan akses pasaran lebih luas dan memberi peluang berlipat ganda untuk syarikat tempatan, khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) meningkatkan penyertaan dalam rantaian nilai serantau serta global.

Berita Harian X