Isnin, 28 Februari 2022 | 10:20am
Lapan sungai utama di Terengganu direkodkan masih melepasi paras bahaya. - Foto NSTP/Ghazali Kori
Lapan sungai utama di Terengganu direkodkan masih melepasi paras bahaya. - Foto NSTP/Ghazali Kori

8 sungai di Terengganu masih lepasi paras bahaya

KUALA TERENGGANU: Lapan sungai utama di Terengganu direkodkan masih melepasi paras bahaya setakat jam 9 pagi ini.

Selain itu, lapan lagi sungai mencatatkan bacaan melepasi paras amaran manakala lima sungai lagi direkodkan melepasi paras waspada.

Berdasarkan laman web rasmi Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, sungai yang merekodkan paras bahaya adalah dua di Setiu, Dungun dan Kemaman serta satu di Hulu Terengganu dan satu di Kuala Terengganu.

Di Setiu, dua sungai yang melepasi paras bahaya adalah Sungai Nerus di Kampung Langkap dengan bacaan 21.10 meter (m)

Sungai Nerus di Kampung Bukit (14.09m).

Sungai Dungun di Kuala Jengai (25.22m) dan Sungai Dungun di Jambatan Jerangau (13.74m) di Dungun turut mencatatkan bacaan melepasi paras bahaya.

Di Kemaman, Sungai Kemaman di Jambatan Air Putih dan Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman masing-masing dengan bacaan 14.25m dan 6.08m melepasi paras bahaya.

Turut merekodkan bacaan melepasi paras bahaya adalah Sungai Telemong di Kuala Ping di Hulu Terengganu dan Sungai Terengganu di Muzium Terengganu, Kuala Terengganu masing-masing dengan bacaan 20.20m dan 2.66m.

Sementara itu, dua sungai di Setiu, Besut (dua) dan Kemaman (dua) serta masing-masing satu di Kuala Terengganu dan Marang kini melepasi paras amaran.

Sungai Besut di Kampung La, Besut pula pada paras 20.37m, Sungai Terengganu di Kampung Tanggol, Hulu Terengganu (8.42m) dan Sungai Nerus di Kampung Jeram, Kuala Nerus (2.10m) direkodkan melepasi paras waspada.

Turut mencatatkan bacaan melepasi paras waspada adalah Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja, Dungun yang berada pada paras 36.38m dan Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik, Kemaman dengan bacaan 1.85m.

Berita Harian X