Isnin, 28 Februari 2022 | 9:12am

11,137 mangsa banjir di Terengganu

KUALA TERENGGANU: Banjir gelombang kelima yang memasuki hari keempat di Terengganu terus merekodkan pertambahan mangsa apabila seramai 11,137 orang dipindahkan setakat jam 8 pagi.

Sebanyak 157 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di seluruh negeri bagi menempatkan kesemua mangsa daripada 3,177 keluarga.

Jumlah itu menyaksikan pertambahan mangsa, berbanding hanya 8,176 orang daripada 2,335 keluarga di 134 PPS malam tadi.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, hanya daerah Marang tidak menunjukkan sebarang pertambahan mangsa manakala tujuh daerah lain merekodkan peningkatan jumlah mereka yang terjejas.

Anggota Bomba dan Penyelamat (JPBM) membantu menyelamatkan penduduk yang terperangkap dalam banjir selepas rumah mereka dinaiki air di Kampung Paya Besar, Kuala Berang malam tadi. - Foto NSTP/Ghazali Kori

Kemaman masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi apabila 22 PPS diaktifkan bagi menempatkan 827 keluarga membabitkan 3,026mangsa.

Ia diikuti Hulu Terengganu yang merekodkan 2,946 orang daripada 950 keluarga dipindahkan ke 27 PPS.

Mangsa banjir turut bertambah di Besut dengan jumlah seramai 2,187 mangsa daripada 516 keluarga dipindahkan 44 PPS.

Di Setiu, 30 PPS dibuka bagi menempatkan 391 keluarga membabitkan 1,277 mangsa.

Seramai 1,236 mangsa yang terjejas di Dungun turut dipindahkan ke 23 PPS manakala di Kuala Nerus, jumlah mangsa bertambah kepada 407 mangsa daripada 116 keluarga yang ditempatkan di lapan PPS.

Di Kuala Terengganu, dua PPS dibuka bagi menempatkan 53 mangsa, sementara di Marang, jumlah mangsa kekal seramai lima orang daripada satu keluarga berada di sebuah PPS.

Anggota Bomba dan Penyelamat (JPBM) membantu menyelamatkan penduduk yang terperangkap dalam banjir selepas rumah mereka dinaiki air di Kampung Paya Besar, Kuala Berang malam tadi. - Foto NSTP/Ghazali Kori
Anggota Bomba dan Penyelamat (JPBM) membantu menyelamatkan penduduk yang terperangkap dalam banjir selepas rumah mereka dinaiki air di Kampung Paya Besar, Kuala Berang malam tadi. - Foto NSTP/Ghazali Kori
Berita Harian X