Ahad, 27 Februari 2022 | 9:56pm
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr Azman Ibrahim (kanan) meninjau kolam ikan siakap akuakultur yang ditenggelami banjir dekat Kampung Pak Kiang, Keluang, petang tadi
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr Azman Ibrahim (kanan) meninjau kolam ikan siakap akuakultur yang ditenggelami banjir dekat Kampung Pak Kiang, Keluang, petang tadi

80 penternak siakap 'berputih mata' lihat kolam ditenggelami banjir

JERTIH: Seramai 80 penternak ikan siakap secara akuakultur dekat Besut di sini, terpaksa berputih mata melihat kolam ternakan masing-masing ditenggelami banjir yang melanda Kampung Pak Kiang, Kluang sejak dua hari lalu, menyebabkan mereka kerugian ratusan ribu ringgit.

Bendahari Persatuan Ikan Akuakultur Terengganu (PERKUAT), Ismail Abd Rahman, berkata pertembungan antara hujan lebat dan air pasang besar menyebabkan kolam seluas 100 hektar ditenggelami air.

"Jika diikutkan benih ikan baru sahaja bersaiz satu hingga satu setengah inci kerana baru sahaja dilepaskan dalam kolam kira-kira 18 hari lalu.

"Mengikut jadual lagi tiga minggu ikan berkenaan mencapai tempoh matang dan sedia untuk dijual.

"Kita tidak menjangkakan banjir akan berlaku pada akhir Februari kerana sudah bersiap sedia lebih awal untuk menghadapi musim tengkujuh pada bulan November dan Disember lalu," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Ismail berkata, jumlah purata benih ikan yang dilepaskan dalam kolam bagi setiap penternak sekitar 300,000 ekor dengan nilai anggaran berjumlah RM35,000.

"Semua penternak ikan di sini mengusahakan kolam ikan sepenuh masa dan apabila berlaku kejadian seperti ini turut menjejaskan punca pendapatan keluarga.

"Sejak kolam ikan ini wujud kira-kira 22 tahun lalu, kejadian seperti ini pernah berlaku beberapa kali tetapi kami terpaksa teruskan aktiviti menternak ikan di sini kerana tiada pilihan.

"Laporan polis berhubung kejadian ini sudah dibuat dan kami juga akan menghantar laporan kerugian ditanggung kepada Jabatan Perikanan, " katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, kerajaan negeri akan membantu penternak terbabit melalui tabung bencana pertanian Negeri Terengganu.

"Buat masa sekarang Jabatan Perikanan dalam proses mengumpul maklumat untuk mengetahui anggaran nilai kerugian sebenar ditanggung penternak ikan terbabit.

"Prosedur agihan tabung bencana akan diuruskan di peringkat jabatan sama ada pertanian, veterinar, perikanan atau Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia," katanya.

Berita Harian X