Ahad, 27 Februari 2022 | 8:27pm
Azwan Omar yang lebih dikenali sebagai Abang Viva dilaporkan kini dalam perjalanan membantu mangsa banjir di Terengganu.
Azwan Omar yang lebih dikenali sebagai Abang Viva dilaporkan kini dalam perjalanan membantu mangsa banjir di Terengganu.

Abang Viva bawa bot guna pikap, bantu mangsa banjir Terengganu

KUALA LUMPUR: Sukarelawan yang terkenal dengan jolokan 'Abang Viva' Azwan Omar, dipercayai sudah memulakan usahanya secara peribadi membantu mangsa banjir di Terengganu.

Satu tangkap layar yang dikongsikan oleh pengguna Facebook, Farah Rusdi, kira-kira enam jam yang lalu, menunjukkan perbualan Azwan, 30, dengan seorang pengguna media sosial, di mana sukarelawan itu memberitahu beliau sedang membuat persiapan untuk ke Pantai Timur.

"Sudah baca, terima kasih atas maklumat (mengenai banjir di Terengganu). Saya pun tengah bersiap (untuk ke sana)," katanya.

Pengguna media sosial itu kemudian membalas dengan ucapan terima kasih dan mendoakan keselamatan perjalanan Azwan bagi membantu mangsa banjir di negeri itu.

"Sekarang Kampung Lubuk Pait (di Kuala Berang, Terengganu), masih ramai terperangkap atas bumbung rumah. Mereka perlukan bot besar," katanya.

Sementara itu, Azwan menerusi perkongsian di Facebook miliknya kira-kira jam 7 malam, hanya memuat naik status ringkas tanpa sebarang gambar dengan menulis 'Bismillah..', sekali gus memberi bayangan seolah-olah beliau sudah memulakan pergerakannya membantu mangsa banjir.

Status dimuat naik sekitar jam 8 malam ini, mendapat hampir 8,000 reaksi reaksi dalam tempoh sejam, dengan ratusan pengguna media sosial mendoakan urusannya membantu mangsa banjir dipermudahkan.

Azwan mula mendapat perhatian ketika menjalankan khidmat sukarelawannya membantu mangsa banjir di Selangor, pada Disember lalu.

Kisahnya Azwan mendapat perhatian rakyat Malaysia berikutan sanggup bergerak dari Melaka bagi membantu mangsa banjir di Selangor menggunakan Perodua Viva dan sebuah bot yang dibawa di atas bumbung keretanya dan hanya berbekalkan RM50, dengan RM20 digunakan untuk mengisi minyak kereta dan RM30 bagi membeli makanan untuk mengalas perut.

Kegigihannya itu, menarik perhatian seorang usahawan kosmetik, Wan Siti Aisyah Wan Hasan, yang tampil menyumbang sebuah pikap Mitsubishi Triton bagi membantu pemuda terbabit dalam kerja-kerja sukarela yang dilakukannya.

Terdahulu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan sebanyak 52 kes banjir direkodkan antara 23 Februari lalu hingga hari ini, dengan 25 kes di Terengganu dan 21 di Kelantan, selain enam kes banjir kilat di Selangor.

Lima daerah di Terengganu direkodkan terkesan dengan banjir monsun ketika ini, iaitu Besut, Hulu Terengganu, Kemaman, Kuala Terengganu dan Setiu, manakala Kelantan merekodkan empat daerah dilanda banjir iaitu Jeli, Kuala Krai, Machang dan Pasir Mas.

Berita Harian X