Ahad, 27 Februari 2022 | 3:07pm
Suhaimi Abdul Wahab, 47, mengalihkan lembu peliharaannya ke tempat yang lebih selamat selepas kawasan rumahnya dilanda banjir di Kampung Kuala Ping, Hulu Terengganu. - Foto NSTP/Ghazali Kori
Suhaimi Abdul Wahab, 47, mengalihkan lembu peliharaannya ke tempat yang lebih selamat selepas kawasan rumahnya dilanda banjir di Kampung Kuala Ping, Hulu Terengganu. - Foto NSTP/Ghazali Kori

Banjir di Terengganu makin teruk, 4,697 mangsa dipindahkan

KUALA TERENGGANU: Jumlah mangsa banjir di Terengganu terus bertambah apabila seramai 4,697 mangsa terjejas dengan banjir gelombang kelima bermula kelmarin.

Setakat jam 2 petang tadi, kesemua mangsa daripada 1,435 keluarga dipindahkan ke 98 pusat pemindahan sementara (PPS).

Pagi tadi, seramai 4,419 orang daripada 1,304 keluarga berada di 90 PPS di seluruh negeri.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, daerah Kemaman masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi apabila seramai 1,790 mangsa daripada 486 keluarga berada di 19 PPS.

Bagaimanapun, jumlah mangsa yang terjejas di Kemaman akibat bencana banjir itu menunjukkan penurunan berbanding seramai 2158 mangsa daripada 579 keluarga di 21 PPS pagi tadi.

Di Setiu, dua lagi PPS diaktifkan menjadikan keseluruhan PPS yang dibuka di daerah berkenaan adalah 24 buah.

Ia bagi menampung 935 mangsa daripada 281 keluarga berbanding hanya 802 mangsa membabitkan 246 keluarga di 22 PPS pagi tadi.

Keadaan banjir juga semakin buruk di Hulu Terengganu apabila jumlah mangsa banjir kini mencecah 911 mangsa daripada 399 keluarga yang dipindahkan ke 16 PPS.

Besut yang sebelum ini menunjukkan penurunan kini merekodkan pertambahan apabila seramai 564 mangsa daripada 134 keluarga ditempatkan di 24 PPS berbanding hanya 396 mangsa daripada 100 keluarga di 20 PPS pagi tadi.

Di Kuala Nerus, sebanyak 63 keluarga membabitkan 202 mangsa masih berada di lima PPS, manakala seramai 59 keluarga membabitkan 236 mangsa di Dungun pula berada di tujuh PPS.

Di Kuala Terengganu, seramai 54 mangsa daripada 12 keluarga terjejas dan mangsa banjir di Marang kekal seramai lima mangsa daripada satu keluarga berada di sebuah PPS.

Berita Harian X