Ahad, 27 Februari 2022 | 12:52pm
Penduduk terpaksa berteduh di siling dan bumbung susulan air banjir naik mendadak. - Foto ihsan Bomba
Penduduk terpaksa berteduh di siling dan bumbung susulan air banjir naik mendadak. - Foto ihsan Bomba

Ibu sarat mengandung panjat bumbung selamatkan diri

HULU TERENGGANU: Lima sekeluarga, termasuk wanita yang sarat mengandung di Kampung Lubuk Pait berhampiran Sekayu, di sini terpaksa memanjat siling dan bumbung rumah untuk menyelamatkan diri berikutan air banjir naik mendadak, pagi ini.

Mohd Saiful Azuar Mohd Amin, 30, ketika dihubungi berkata, beliau, isteri yang sarat mengandung, ibu bapa dan seorang adik, kini berteduh di bumbung rumah dan menunggu bantuan pasukan penyelamat untuk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

"Saya risau sebab bateri telefon hampir habis. Kami berlima sudah tak ada tempat berlindung dan bertawakal sahaja naik ke bumbung. Kami berharap dapat diselamatkan secepat mungkin.

"Saya minta pertolongan adik, Nor Hafizah Mohd Amin untuk kongsikan nasib kami di media sosial sebagai ikhtiar untuk mendapat bantuan segera," katanya yang sudah beberapa jam berada di bumbung dan kesejukan.

Seorang lagi penduduk kampung itu, Mohd Khairul Azhar Rashid, 35, berkata beliau yang berada di Kuala Lumpur kerana urusan peribadi terpaksa bergegas balik ke Hulu Terengganu sebaik mendengar maklumat mengenai banjir itu daripada adiknya.

"Ramai keluarga saya di Kampung Lubuk Pait dan semuanya gagal dihubungi ketika ini. Saya banyak terima kiriman gambar dan video daripada kawan sekampung. Ini kali pertama air naik begitu tinggi sehingga ada yang perlu naik ke bumbung rumah.

"Difahamkan, pasukan penyelamat masih belum boleh masuk ke kampung kerana banyak jalan yang terputus hubungan dan arus pula terlalu kuat turut membahayakan nyawa mereka. Harapan saya agar tiada perkara buruk yang berlaku," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang. Hanaffi Mohd, berkata situasi agak kritikal ketika ini kerana laluan masuk ke Kampung Lubuk Pait tidak boleh dilalui.

Beliau berkata, bomba masih menunggu bantuan pasukan penyelamat berserta kemudahan logistik yang lain.

"Saya pun masih terkandas di sini dan sedang membantu menyelamatkan mangsa di kawasan sekitar," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X