Ahad, 27 Februari 2022 | 12:21pm
Anggota bomba terpaksa menggunakan helikopter selepas jalan di Kampung Lubok Pait ditenggelami air. - Foto hiasan
Anggota bomba terpaksa menggunakan helikopter selepas jalan di Kampung Lubok Pait ditenggelami air. - Foto hiasan

Guna helikopter selamatkan mangsa banjir

HULU TERENGGANU: Helikopter terpaksa digunakan bagi memindahkan 18 mangsa banjir termasuk bayi dan warga emas selepas kediaman mereka di Kampung Lubok Pait, di sini, terputus hubungan, pagi ini.

Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Kuala Berang, Hanafi Mohd, berkata pihaknya terpaksa menggunakan helikopter selepas jalan ke kampung berkenaan ditenggelami air.

Beliau yang turut terperangkap bersama beberapa anggota di lokasi kejadian berkata, pihaknya ke kampung berkenaan untuk melakukan operasi menyelamat kira-kira jam 6 pagi tadi.

"Namun, sebaik tiba di lokasi, air semakin naik menyebabkan laluan ke kampung berkenaan ditenggelami air sehingga mencecah paras dua meter menyebabkan kami terperangkap di lokasi kejadian," katanya.

Hujan lebat berterusan sejak malam tadi menyebabkan keadaan banjir di daerah ini semakin buruk apabila beberapa kampung dinaiki air dan terputus hubungan.

Air naik secara mendadak pada awal pagi menyebabkan penduduk menjadi kelam kabut untuk menyelamatkan diri.

Situasi itu menyebabkan ada penduduk terpaksa mencari tempat tinggi seperti bumbung dan kawasan bukit bagi menyelamatkan diri sebelum diselamatkan anggota penyelamat.

Penduduk terpaksa berteduh di atas bumbung rumah di Hulu Terengganu susulan kenaikan mendadak dan hujan lebat di daerah berkenaan.
Penduduk terpaksa berteduh di atas bumbung rumah di Hulu Terengganu susulan kenaikan mendadak dan hujan lebat di daerah berkenaan.

Berita Harian X