Ahad, 27 Februari 2022 | 11:51am
Penduduk kampung menggunakan khidmat bot penambang berikutan jalan utama yang menghubungkan Kuala Nal dengan Lepan Pauh dan Bukit Sireh yang terputus hubungan selepas air Sungai Kelantan melipah sejak malam tadi, ketika tinjauan semalam. - Foto BERNAMA
Penduduk kampung menggunakan khidmat bot penambang berikutan jalan utama yang menghubungkan Kuala Nal dengan Lepan Pauh dan Bukit Sireh yang terputus hubungan selepas air Sungai Kelantan melipah sejak malam tadi, ketika tinjauan semalam. - Foto BERNAMA

Banjir: Calon SPM bimbang hilang fokus, ibu bapa risau pembelajaran terganggu

KUALA KRAI: Tinggal tiga hari sahaja lagi, peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bakal diadakan pada 2 Mac, yang pastinya akan memberi kerisauan dan kebimbangan terhadap pelajar dan ibu bapa yang berdepan dengan bencana banjir.

Pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Krai, di sini, Mohd Nasrul Ashraf Mohd Nawi berkata tumpuannya dalam pembelajaran agak terganggu kerana tidak dapat menumpukan perhatian untuk mengulang kaji pelajaran kerana bimbang rumahnya dinaiki air sehingga menyukarkannya untuk mengambil peperiksaan nanti.

"Fokus saya sedikit terganggu ketika ini kerana memikirkan apa yang akan berlaku sekiranya hujan lebat dan tidak berhenti kerana kawasan sekitar rumah saya mudah dinaiki air.

"Malah, apabila saya lihat ramai rakan-rakan saya dan keluarganya diarahkan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), ia membuatkan saya bertambah kasihan dan simpati dengan nasib yang menimpa mereka," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Selain itu, Aiman Haikal Faizul Hakim, calon SPM dari SMK Sultan Yahya Petra 1, pula berkata sekiranya rumahnya dilanda banjir, beliau akan meminta bantuan dengan gurunya untuk menetap di asrama sekolah.

"Tiada cara lain lagi untuk saya lakukan selain meminta kebenaran dengan cikgu untuk tinggal di asrama kerana saya tidak mahu tercicir untuk menduduki peperiksaan SPM," katanya.

Sementara itu, seorang bapa kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM, Mohammad Yusri Mohd Amin berkata beliau risau tumpuan anaknya mungkin terjejas untuk menghadapi peperiksaan SPM kerana memikirkan bencana banjir yang akan berlaku.

"Hati bapa mana yang tidak risaukan anak-anaknya sebab peperiksaan yang akan dihadapi ini adalah bukan calang-calang peperiksaan kerana ia akan menentukan masa depan mereka.

"Saya juga telah bersiap sedia sekiranya hujan lebat berterusan, saya akan mencari alternatif lain membawa anak saya pergi ke sekolah kerana bimbang jika laluan ke sekolahnya tidak dapat dilalui," katanya.

SPM 2021 dijadualkan bermula pada 2 Mac dan berakhir 29 Mac membabitkan lebih 401,000 calon. – BERNAMA

Berita Harian X