Ahad, 27 Februari 2022 | 11:41am
Penduduk terpaksa berteduh di atas bumbung rumah di Hulu Terengganu berikutan air naik mendadak dan deras. - Foto ihsan Bomba
Penduduk terpaksa berteduh di atas bumbung rumah di Hulu Terengganu berikutan air naik mendadak dan deras. - Foto ihsan Bomba

Bomba, mangsa banjir berlindung atas bumbung

KUALA TERENGGANU: Anggota bomba yang sedang dalam operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir di Kampung Lubuk Pait, Hulu Terengganu, terpaksa berlindung bersama penduduk di atas bumbung berikutan air naik mendadak dan deras.

Ketika ini, pasukan penyelamat bersama 25 mangsa yang sebelum ini diselamatkan dari beberapa kampung seperti Kampung Tapah dan Kampung Cheting berada di atas bumbung kediaman penduduk, sementara menunggu bantuan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Hanaffi Mohd, berkata pihaknya tidak mahu mengambil risiko meredah banjir berikutan keadaan arus yang deras selain hujan lebat.

Beliau berkata, bomba berjaya mengambil mangsa di Kampung Tapah, Kampung Cheting, Kampung Peneh dan Kampung Sekayu yang dinaiki air, dari kediaman masing-masing tetapi tidak dapat keluar ke kawasan selamat berikutan air semakin deras.

"Kami menerima panggilan untuk menyelamatkan mangsa di Kampung Tapah pada jam 4 pagi dan Kampung Cheting, Kampung Peneh serta Kampung Sekayu, pada jam 5.15 pagi.

"Usaha menyelamatkan dilakukan dalam keadaan gelap dengan keadaan air yang semakin tinggi dan deras, dibantu penduduk kampung.

"Semua mangsa berjaya diselamatkan, namun kita berdepan kesukaran untuk membawa keluar mangsa dari kawasan banjir kerana air semakin tinggi," katanya.

Beliau berkata, bomba juga terserempak dengan beberapa penduduk lain yang mahu keluar dan mereka diletakkan di lokasi selamat sementara menunggu ketibaan bot penyelamat.

Hanaffi berkata, pihaknya turut menenangkan mangsa yang panik berikutan keadaan air yang naik dengan cepat.

"Setakat ini, jumlah sebenar mangsa yang terperangkap masih belum diketahui. Kita juga sudah menghubungi ibu pejabat untuk mendapatkan bantuan, termasuk helikopter," katanya.

Berita Harian X