Ahad, 27 Februari 2022 | 11:19am
Tiga sungai utama di Kelantan masih melepasi paras bahaya iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang, Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah dan Sungai Kelantan di Temangan, Machang. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Tiga sungai utama di Kelantan masih melepasi paras bahaya iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang, Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah dan Sungai Kelantan di Temangan, Machang. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Paras air 12 sungai di Terengganu, Kelantan tahap bahaya

KUALA LUMPUR: Paras air 12 sungai di Terengganu dan Kelantan dilaporkan melebihi paras bahaya pagi ini dengan 10 daripadanya menunjukkan trend peningkatan.

Portal Public Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut menunjukkan lima sungai di dua negeri itu melebihi tahap amaran dengan trend paras air meningkat.

Di Terengganu, paras air Sungai Dungun di Kuala Jengal kini melebihi paras bahaya dan sedang meningkat pada paras 21.98 meter (m) melebihi paras normal 14m, dan situasi sama berlaku di Empangan Tebat, Hulu Terengganu kini di paras 433.29m.

Sungai Besut di Jambatan Keruak dan Kampung La, Besut turut di paras bahaya dengan masing-masing berada diparas 38.1m dan 23.32m dan menunjukkan peningkatan.

Paras air Sungai Berang (Kampung Menerong, Hulu Terengganu), Sungai Telemong (Kuala Ping, Hulu Terengganu), Sungai Kemaman (Rumah Pam Paya Paman, Kemaman), Sungai Chalok di Jambatan Chalok, Setiu juga sudah melebihi paras bahaya.

Selain itu, paras air Sungai Nerus di Kampung Bukit dan Kampung Langkap, Setiu juga dilaporkan melebihi tahap bahaya.

Tiga sungai turut dilaporkan sudah mencapai tahap amaran iaitu Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik, Kemaman; Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan, Marang dan Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja, Dungun.

Di Kelantan, paras Sungai Kelantan di Kampung Temangan, Machang sudah melebihi paras bahaya dan kini di paras 21.19m, manakala Sungai Nal di Kampung Sungai Nal, Kuala Krai di paras 25.25m.

Paras air Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah turut dilapor sudah melebihi paras bahaya dengan paras air 25.86 meter dan paras air di ketiga-tiga sungai ini menunjukkan trend meningkat.

Sungai Kelantan di Kuala Krai, Sungai Lanas di Air Lanas, Jeli dan Sungai Kelantan di Tambatan Raja, Kota Bharu kini dilaporkan berada di paras amaran dengan menunjukkan peningkatan.

Sementara itu di Sarawak pula, dua sungai iaitu di Long Teru, Miri dan Sungai Similajau, Bintulu kini di paras amaran dengan masing-masing diparas 7.31m dan 9.22m, manakala Sungai Dong di Kampung Peruas, Raub, Pahang dilabel berjaga-jaga pada paras 134.11m.

Berita Harian X