Ahad, 27 Februari 2022 | 10:45am
Penduduk, Mad Sarip Jusof, 60 mendayung sampan selepas rumahnya dilanda banjir di Kampung Paloh Nyoir, Terengganu. - Foto NSTP/Ghazali Kori
Penduduk, Mad Sarip Jusof, 60 mendayung sampan selepas rumahnya dilanda banjir di Kampung Paloh Nyoir, Terengganu. - Foto NSTP/Ghazali Kori

Paras sungai di Terengganu tunjuk trend menaik

KUALA TERENGGANU: Paras air di kebanyakan sungai utama di Terengganu menunjukkan trend peningkatan.

Setakat jam 10 pagi, 13 sungai direkodkan melepasi paras bahaya, tiga mencatatkan bacaan melepasi paras amaran manakala dua lagi direkodkan melepasi paras waspada.

Kesemua 13 sungai yang direkodkan melepasi paras bahaya adalah lima di Setiu, tiga di Hulu Terengganu, masing-masing dua di Besut dan Dungun serta satu di Kemaman.

Berdasarkan laman web rasmi Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, kesemua lima sungai utama di daerah Setiu masih merekodkan bacaan melepasi paras bahaya.

Ia membabitkan Sungai Nerus di Kampung Langkap dengan bacaan 22.31 meter (m); Sungai Nerus di Kampung Bukit (14.36m); Sungai Setiu di Kampung Besut (18m); Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri (8.81m) dan Sungai Chalok di Jambatan Chalok (9.07m).

Kelihatan kanak kanak menaiki sampan selepas kediaman mereka ditenggelami banjir di Kampung Kuala Ping, Terengganu. - Foto NSTP/Ghazali Kori
Kelihatan kanak kanak menaiki sampan selepas kediaman mereka ditenggelami banjir di Kampung Kuala Ping, Terengganu. - Foto NSTP/Ghazali Kori

Di Hulu Terengganu, tiga sungai yang melepasi paras bahaya adalah Empangan Tembat (433.31m); Sungai Berang di Kampung Menerong (26.23m) dan Sungai Telemong di Kuala Ping (20.94m).

Turut direkodkan melepasi paras bahaya adalah Sungai Besut di Jambatan Keruak (37.73m) dan Sungai Besut di Kampung La (22.79m).

Di Dungun, Sungai Dungun di Kuala Jengai dan Sungai Dungun di Jambatan Jerangau yang melepasi paras bahaya masing-masing merekodkan bacaan 22.07m dan 12.52m.

Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman, Kemaman juga mencatatkan bacaan melepasi paras bahaya iaitu 5m.

Tiga sungai yang merekodkan bacaan melepasi paras amaran adalah Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan, Marang (2.48m) ; Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja, Dungun (36.53m) dan Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik, Kemaman (1.95m).

Selain itu, dua lagi sungai iaitu Sungai Besut di Jambatan Jerteh, Besut yang mencatatkan bacaan 6.96 m dan Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Kemaman (17.59m) direkodkan melepasi paras waspada.

Berita Harian X