Ahad, 27 Februari 2022 | 9:26am

Banjir di Terengganu semakin buruk

KUALA TERENGGANU: Banjir di Terengganu semakin buruk apabila jumlah mangsa kini mencecah 4,419 orang.

Setakat jam 8 pagi tadi, semua mangsa daripada 1,304 keluarga itu ditempatkan di 90 pusat pemindahan sementara (PPS).

Ia menunjukkan pertambahan jumlah mangsa berbanding 3,813 mangsa (1,103 keluarga) ditempatkan di 81 PPS, semalam tadi.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, daerah Kemaman masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 2,158 mangsa (579 keluarga) dipindahkan ke 21 PPS.

Di Setiu, seramai 802 mangsa banjir (246 keluarga) berlindung di 22 PPS.

Seramai 689 mangsa (274 keluarga) pula dipindahkan ke 14 PPS di Hulu Terengganu.

Bagaimanapun, jumlah mangsa di Besut menunjukkan sedikit penurunan dengan 396 mangsa (100 keluarga) berada di 20 PPS, berbanding 433 mangsa malam tadi.

Di Kuala Nerus, 173 mangsa (54 keluarga) masih berada di lima PPS.

Seramai 138 mangsa (37 keluarga) di Dungun pula berada di lima PPS.

Di Kuala Terengganu, 58 mangsa banjir (13 keluarga) terjejas dengan Marang merekodkan jumlah mangsa terendah setakat ini apabila lima mangsa (sebuah keluarga) berada di sebuah PPS.

Keadaan banjir di Terengganu. - NSTP/GHAZALI KORI
Keadaan banjir di Terengganu. - NSTP/GHAZALI KORI
Berita Harian X