Sabtu, 26 Februari 2022 | 4:55pm

9 sungai di Terengganu melepasi paras bahaya

KUALA TERENGGANU: Paras air di sembilan sungai utama negeri ini direkod melepasi tahap bahaya setakat jam 4 petang ini.

Laman web rasmi Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) merekodkan selain lima di Setiu, baki empat lagi membabitkan masing-masing satu di Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.

Lima sungai di Setiu itu membabitkan Sungai Nerus di Kampung Langkap dengan bacaan 21.68 meter (m); Sungai Nerus di Kampung Bukit (13.68 m); Sungai Setiu di Kampung Besut (17.56 m); Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri (8.81 m) dan Sungai Chalok di Jambatan Chalok (8.91 m).

Empat lagi sungai yang melepasi paras bahaya adalah Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu (20.81 m); Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan, Marang (2.85 m); Sungai Dungun di Kuala Jengai, Dungun (21.37 m) dan Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman, Kemaman (4.92 m).

Selain itu, lapan sungai lagi turut mencatatkan bacaan melepasi paras amaran, manakala satu sungai direkodkan melepasi paras waspada.

Di Besut, tiga sungai utama iaitu Sungai Besut di Jambatan Keruak (34.91 m); Sungai Besut di Kampung La (21.71 m) dan Sungai Besut di Jambatan Jerteh (7.10 m) kini melepasi paras amaran.

Selain itu, paras air di Empangan Tembat yang sebelum ini melepasi paras bahaya dengan bacaan 432.26 m kini berada pada paras amaran iaitu 431.92 m

Turut melepasi paras amaran adalah Sungai Berang di Kampung Menerong, Hulu Terengganu (24.16 m), Sungai Dungun di Jambatan Jerangau, Dungun (12.39 m), Sungai Tebak di Jambatan Tebak (18.35 m) dan Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik (2.28 m) di Kemaman.

Sementara itu, paras air di Sungai Terengganu di Muzium Terengganu di Kuala Terengganu yang berada pada paras 1.62 m ketika ini turut melepasi paras waspada.

> Penduduk mengambil kesempatan memasang pukat ketika musim banjir di Kampung Pulau Manis dekat Serada ketika sembilan sungai utama di Terengganu direkodkan melepasi paras bahaya. - FOTO NSTP/ GHAZALI KORI
> Penduduk mengambil kesempatan memasang pukat ketika musim banjir di Kampung Pulau Manis dekat Serada ketika sembilan sungai utama di Terengganu direkodkan melepasi paras bahaya. - FOTO NSTP/ GHAZALI KORI
Berita Harian X