Sabtu, 26 Februari 2022 | 11:00am
Keempat-empat calon bagi DUN Sedili mengundi bagi menentukan nombor calon yang akan dicetak pada kertas pengundian. - NSTP/LUQMAN ARIF ABDUL KARIM
Keempat-empat calon bagi DUN Sedili mengundi bagi menentukan nombor calon yang akan dicetak pada kertas pengundian. - NSTP/LUQMAN ARIF ABDUL KARIM

Calon PEJUANG hangatkan saingan 4 penjuru di DUN Sedili

KOTA TINGGI: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sedili menyaksikan persaingan empat penjuru selepas proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ditutup jam 10 pagi tadi.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Syed Muhammad Khalil Syed Ahmad, ketika mengumumkan perkara itu, berkata semua calon melepasi tapisan yang dibuat.

Sehubungan itu, katanya, calon pertama mengikut cetakan pada kertas pengundian ialah daripada Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG), Tariq Ismail Mustafa, disusuli calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Hasnolhadi Mohd Sebalas; Mat Khairi Samsudin daripada Pakatan Harapan (PH) dan calon Barisan Nasional (BN), Muszaidi Makmor.

"Saya menyemak kertas pencalonan dan berpuas hati, justeru memutuskan bahawa tiada calon yang ditolak permohonannya," katanya ketika mengumumkan senarai nama calon di Dewan Tanjung Sedili, di sini.

Terdahulu, proses penamaan calon bagi satu daripada DUN yang terletak dalam Parlimen Kota Tinggi itu berlangsung tanpa sebarang insiden tidak dingini.

Bagaimanapun, calon BN dan PN menerima teguran daripada SPR kerana membawa rombongan serta berarak ke pusat penamaan calon.

Selepas dinasihatkan, mereka akur untuk bersurai dan menunggu di luar kawasan dewan sehingga proses penamaan calon selesai.

Berita Harian X