Jumaat, 25 Februari 2022 | 6:39pm
Tuan Ibrahim Tuan Man (tengah) mendengar taklimat Projek Pemuliharaan Muara Sungai Setiu pada majlis pelancaran di Kampung Mangkuk, Setiu, - FOTO NSTP/ Zaid Salim
Tuan Ibrahim Tuan Man (tengah) mendengar taklimat Projek Pemuliharaan Muara Sungai Setiu pada majlis pelancaran di Kampung Mangkuk, Setiu, - FOTO NSTP/ Zaid Salim

RM343 juta peruntukan pemuliharaan muara sungai, hakisan pantai Terengganu

SETIU: Kerajaan memperuntukkan RM343 juta bagi tujuan pemuliharaan muara sungai dan hakisan pantai di empat daerah di negeri ini yang dijangka selesai Januari 2025.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, selain daerah ini, tiga lagi membabitkan Kemaman, Dungun dan Marang.

Beliau berkata, di negeri ini kira-kira 14 muara sungai sedang pesat membangun dengan pelbagai aktiviti ekonomi seperti sektor pertanian, akuakultur, pelabuhan, perkapalan dan pelancongan termasuk di Sungai Setiu.

Katanya, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) selaku agensi pelaksana komited menangani isu mendapan muara di sungai berkenaan.

"Memandangkan kebanyakan muara sungai di Terengganu sedang pesat membangun dengan pelbagai aktiviti ekonomi, maka masalah muara cetek menyukarkan aktiviti sosio-ekonomi masyarakat tempatan.

"Kejadian banjir di daerah ini baru-baru ini juga disebabkan air sungai tidak mengalir secara terus ke laut kerana muara sungai cetek.

"Ia juga mendatangkan masalah lain seperti bot nelayan tidak dapat keluar masuk, sekali gus menjejaskan industri perikanan," katanya ketika sidang media sempena Pelancaran Projek Pemuliharaan Sungai di Kampung Mangkuk, di sini, hari ini.

Mengenai Sungai Setiu, beliau berkata kerja pembinaan projek pemuliharaan muara bermula Januari lalu dijangka siap Januari 2025.

"Peruntukan meliputi kerja pembinaan struktur pemecah ombak, struktur dinding penyaliran, lapis lindung, penyuburan pantai dan pengorekan alur navigasi sejauh 14 kilometer bermula dari Kampung Gong Batu ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia ( LKIM) di Kampung Penarik yang menelan belanja keseluruhan RM119 juta.

"Projek pemuliharaan ini diharap dapat menyelesaikan isu mendapan di muara yang menyebabkan pergerakan keluar air ke laut tidak lancar dan boleh menyebabkan berlaku banjir di daerah ini," katanya.

Berita Harian X