Selasa, 22 Februari 2022 | 8:54pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Lawatan PM dinanti komuniti perniagaan Malaysia di Kemboja - Duta

PHNOM PENH: Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Kemboja amat dinanti-nantikan komuniti perniagaan Malaysia di sini, memandangkan ia akan meningkatkan hubungan dua hala kedua-dua negara, terutamanya dalam perdagangan dan pelaburan.

"Ia masa yang sesuai bagi perdana menteri untuk datang, kerana Kemboja baru-baru ini dengan bantuan beberapa negara termasuk Malaysia, telah memperkenalkan undang-undang baharu bagi pelaburan," kata Duta Malaysia ke Kemboja, Eldeen Husaini Mohd Hashim.

Undang-undang baharu itu menumpukan kepada usaha mempermudahkan pelaburan langsung asing (FDI) terutamanya dalam mengurangkan kerenah birokrasi, sekali gus menyediakan peluang untuk dimanfaatkan perniagaan Malaysia, katanya kepada media Malaysia di sini, hari ini.

Selain itu, undang-undang terbabit juga akan memberikan kemudahan menerusi pengecualian cukai, insentif dan pakej perlindungan pelaburan.

"Malaysia pelabur ketiga terbesar di Kemboja dengan FDI bernilai AS$3.53 bilion (RM14.77 biliom) antara tempoh 1994 hingga 2020, selepas China dan Korea Selatan, terutamanya dalam sektor perbankan, telekomunikasi, penjanaan kuasa serta hiburan.

"Justeru, lawatan rasmi Perdana Menteri ini dianggap satu petanda yang Malaysia bersedia untuk melabur dengan lebih banyak lagi di Kemboja dan disambut baik kerajaan negara ini," katanya.

Eldeen Husaini berkata, lawatan sulung Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Malaysia selama dua hari bermula esok itu adalah untuk memenuhi jemputan rakan sejawatannya, Samdech Techo Hun Sen.

Perdana Menteri dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh Kemboja petang esok dan akan disambut Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Othman Hassan sebagai mewakili kerajaan Kemboja.

Beliau akan diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaludin Alias; Pengerusi RRISDA, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif, serta pegawai kerajaan daripada kementerian dan agensi berkaitan.

Pada hari pertama lawatannya, Perdana Menteri akan menghadiri majlis makan malam dan ramah mesra bersama keluarga Malaysia dan juga komuniti perniagaan Malaysia di Kemboja.

Eldeen Husaini berkata, terdapat kira-kira 5,000 rakyat Malaysia menetap di Kemboja, yang mana daripada jumlah itu kira-kira 2,000 berada di ibu kota Phnom Penh dan terbabit terutamanya dalam pelbagai perniagaan sejak 1994.

Pada hari kedua, Perdana Menteri akan memulakan acara rasmi dengan mengadakan lawatan ke Independent Monument bagi acara penghormatan dan seterusnya ke acara penghormatan Monument of Preah Borom Ratanak Kaudh di sekitar kawasan sama.

Ismail Sabri juga akan diberikan upacara sambutan rasmi dengan nyanyian lagu kebangsaan kedua-dua negara, serta diikuti acara lintas hormat diiringi Hun Sen di Peace Palace Phnom Penh.

"Kedua-dua Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan empat mata untuk membincangkan mengenai pengukuhan hubungan dua hala, isu serantau bersama serta kerjasama di peringkat antarabangsa," katanya.

Kemboja adalah Pengerusi ASEAN 2022.

"Lawatan Perdana Menteri ini akan membuka peluang kepada kedua-dua pemimpin negara untuk membincangkan isu dan kerjasama dua hala yang berkepentingan bersama serta meneroka kerjasama baharu pasca COVID-19, serta dalam menangani cabaran serantau dan antarabangsa," tambahnya.

Sementara itu, Eldeen Husaini berkata, kadar vaksinasi tinggi di Kemboja membolehkan negara itu membukakan sempadannya dan menunggu kedatangan lebih banyak penerbangan dari Malaysia.

"Ini mungkin menjadi satu daripada banyak topik yang akan dibincangkan kedua-dua pemimpin," katanya.

Perdana Menteri juga dijadualkan menghadiri majlis mengadap Raja Kemboja, Baginda Norodom Sihamoni, bertempat di Istana Negara sebelum berlepas ke Bangkok, Thailand.

Jumlah perdagangan Kemboja-Malaysia melepasi AS$500 juta (RM2.09 bilion) pada 2021, meningkat sebanyak 13.14 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Menurut laporan, eksport Kemboja ke Malaysia berjumlah AS$101 juta (RM422.74 juta) juta pada 2021, meningkat sebanyak 2.62 peratus daripada AS$98 juta (RM410.18 juta) pada 2020, manakala import bernilai AS$399 juta (RM1.67 bilion), melonjak sebanyak 16.16 peratus tahun ke tahun daripada AS$343 juta (RM1.435 bilion) pada tahun sebelumnya.

Pertumbuhan ekonomi Kemboja pada 2022 diunjur kembali ke paras pengembangan seperti sebelum pandemik.

Negara itu dijangka mencatatkan pemulihan penuh eksport daripada sektor pembuatannya, tetapi pertumbuhan sektor perkhidmatan dijangka lemah memandangkan industri pelancongan dan pembangunan hartanah tidak dijangka pulih sehingga 2023.

Bank Dunia mengunjurkan ekonomi Kemboja meningkat 4.5 peratus pada 2022 dan mencecah 5.5 peratus pada 2023, manakala Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang sebanyak 5.7 peratus pada 2022. – BERNAMA

Berita Harian X