Selasa, 22 Februari 2022 | 12:33pm
Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal. - NSTP/ARKIB
Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal. - NSTP/ARKIB

Salah pisahkan anak dengan ibu bapa - SUHAKAM

KUALA LUMPUR: Pemisahan kanak-kanak daripada ibu bapa menyalahi Perkara 9 Konvensyen Mengenai Kanak-kanak (CRC), kata Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal.

Beliau menegaskan, hak itu hendaklah dihormati serta dipertimbangkan dalam penilaian berkaitan kepentingan terbaik kanak-kanak.

Berhubung isu pertukaran agama secara sepihak pula, katanya, SUHAKAM menekankan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi pada 2018 bahawa apabila ia membabitkan kanak-kanak, penukaran kepada agama lain hendaklah dibuat dengan persetujuan kedua-dua ibu bapa seperti termaktub dalam Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan.

"Perkataan 'ibu bapa' dalam Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan ditafsirkan untuk turut menyertakan 'kedua ibu bapa' dan Akta Penjagaan Kanak-kanak 1961 (Akta 351) merujuk kepada Seksyen 5.

"Mengikut seksyen itu, ibu kepada kanak-kanak hendaklah mempunyai kuasa yang sama dalam memohon kepada mahkamah berhubung apa-apa perkara yang memberi kesan kepada kanak-kanak sepertimana kuasa yang dimiliki bapa.

"Oleh itu, persetujuan kedua-dua ibu bapa adalah perlu dalam menentukan agama anak. Adalah ditegaskan bahawa pertukaran agama secara sepihak bertentangan dengan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, SUHAKAM memuji keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang membenarkan permohonan 'habeas corpus' seorang ibu yang dipisahkan daripada tiga anaknya oleh bapa mereka sejak 2019.

Dalam kes itu, katanya, mahkamah turut memerintahkan ketiga-tiga kanak-kanak terbabit, yang kini dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dilepaskan kepada penjagaan mutlak, perlindungan dan kawalan oleh ibu mereka.

"Kanak-kanak itu sebelum ini didakwa diislamkan secara sepihak oleh pihak berkuasa agama Perlis atas permintaan bapa mereka pada Julai 2020. Ibu mereka tidak mengetahui pertukaran agama tersebut kerana beliau sedang dalam proses pemulihan di sebuah rumah perlindungan keganasan rumah tangga.

"Jutseru, beliau gagal mendapatkan penjagaan anak-anaknya walaupun mendapat perintah hak jagaan penuh mahkamah pada Disember 2019," katanya menambah, kanak-kanak berkenaan turut dinafikan hak untuk hidup bersama ibu mereka selama tiga tiga tahun.

"Oleh yang demikian, SUHAKAM memohon supaya semua pihak yang terbabit untuk mematuhi keputusan mahkamah dan membenarkan kanak-kanak tersebut disatukan semula dengan ibu mereka," katanya.

Berita Harian X