Isnin, 21 Februari 2022 | 4:53pm
Seramai 1.18 juta pengunjung membanjiri 775 lokasi PJKM dengan nilai jualan lebih RM22.85 juta hingga 14 Februari lalu. - NSTP/ARKIB
Seramai 1.18 juta pengunjung membanjiri 775 lokasi PJKM dengan nilai jualan lebih RM22.85 juta hingga 14 Februari lalu. - NSTP/ARKIB

Program Jualan Keluarga Malaysia diperluas ke kawasan DUN

PUTRAJAYA: Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) kini diperluaskan meliputi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berikutan sambutan menggalakkan terhadap inisiatif bagi mengurangkan beban kos sara hidup rakyat itu yang dianjurkan di kawasan Parlimen.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam kenyataan hari ini, memaklumkan ia atas permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahu rakyat pelbagai strata ekonomi di seluruh pelusuk negara turut mendapat manfaat daripada PJKM.

Menurut KPDNHEP, seramai 1.18 juta pengunjung telah membanjiri 775 lokasi PJKM dengan nilai jualan yang direkodkan melebihi RM22.85 juta hingga 14 Februari lalu.

PJKM dianjurkan setiap minggu secara serentak di kawasan Parlimen dan lokasinya berdekatan dengan golongan sasar iaitu golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan 40 peratus sederahana (M40).

Program jualan itu menawarkan pelbagai barangan keperluan harian dengan harga berpatutan seperti ayam, ikan, telur, sayur-sayuran, minyak masak, gula, tepung, beras dan barangan keperluan rumah terpilih.

Pada 2 Disember lalu, Ismail Sabri melancarkan PJKM yang diadakan di semua 222 kawasan Parlimen secara serentak dan menawarkan barangan keperluan harian pada harga murah antara 20 dan 50 peratus.

PJKM adalah kolaborasi di antara KPDNHEP dengan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) serta rakan strategik sektor peruncitan. Sejumlah 113 rakan strategik mengambil bahagian dalam program itu.

"Maklum balas pengguna yang diterima rata-rata menyambut baik dan meminta PJKM ini dilaksanakan secara berkala dan mengakui bahawa harga barang yang dijual dapat meringankan bebanan kos sara hidup rakyat dalam situasi harga barang yang dilaporkan kian meningkat," menurut KPDNHEP. - BERNAMA

Berita Harian X