Ahad, 20 Februari 2022 | 5:51pm

Daging RM25 sekilogram jadi tumpuan pengunjung

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 350 kilogram daging termasuk tulang lembu dijual dalam tempoh setengah jam sahaja di Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Batu Hampar, Manir, Kuala Berang, hari ini.

Ia berikutan harga murah iaitu RM25 sekilogram yang ditawarkan kepada pengunjung selepas Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, memberikan subsidi RM6 bagi setiap kilogram.

Kerajaan menetapkan daging segar tempatan dijual pada harga RM31 sekilogram di PJKM.

Seorang peniaga daging, Syamsul Abdullah, 37, dari Kuala Terengganu, berkata jualan daging dan tulang lembu terpaksa dihadkan hanya satu kg setiap pengunjung.

Katanya, gerai jualan daging dan tulang lembu sentiasa menjadi tumpuan pengunjung setiap kali PJKM diadakan di seluruh kawasan Parlimen Hulu Terengganu.

"Keprihatinan Rosol yang memberi subsidi sebanyak RM6 sekilogram menjadikan gerai jualan daging dan tulang menjadi tumpuan pengunjung.

"Sejak dipilih sebagai peserta dan mengadakan jualan pada PJKM di peringkat Hulu Terengganu, sebanyak 12 ekor lembu disembelih," katanya ketika ditemui pada PJKM hari kedua di Batu Hampar, Manir, Kuala Berang, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Syamsul berkata, walaupun tanpa kehadiran Rosol, dia sudah meminta daging dan tulang lembu pada PJKM tetap dijual pada harga subsidi iaitu RM25 sekilogram.

Mengenai PJKM, Syamsul mengakui keuntungan diperolehi melalui jualan daging hanya sekadar 'cukup makan' selepas tolak upah pekerja, apabila kerajaan menetapkan harga jualan daging hanya RM31 setiap kg, berbanding RM34 di pasar awam.

"Walaupun hanya memperolehi keuntungan sekadar cukup makan, kerajaan perlu meneruskan PJKM bagi membantu mengurangkan bebanan pengguna," katanya.

Sementara itu, Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, subsidi daging sebanyak RM6 sekilogram pada setiap PJKM diberikan bagi membantu meringankan bebanan pengguna yang masih terkesan susulan berlakunya kenaikan harga pelbagai barangan.

Katanya, subsidi daging dan tulang itu menggunakan peruntukan khas disediakan kerajaan kepada setiap pejabat Ahli Parlimen.

"Kita akan meneruskan untuk memberi subsidi barangan keperluan lain termasuk ayam segar dan telur pada setiap PJKM yang diadakan di kawasan Parlimen Hulu Terengganu," katanya ketika dihubungi, hari ini

Orang ramai membeli daging segar yang dijual pada harga RM25 sekilogram di Program Jualan Keluarga Malaysia di Manir. - Foto NSTP/Baharom Bakar
Orang ramai membeli daging segar yang dijual pada harga RM25 sekilogram di Program Jualan Keluarga Malaysia di Manir. - Foto NSTP/Baharom Bakar
Berita Harian X