Ahad, 20 Februari 2022 | 4:03pm

UMT lahir usahawan agro melalui program pemindahan ilmu

KUALA LUMPUR: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melaksanakan projek berkonsepkan pemindahan ilmu membabitkan perkongsian kepakaran penyelidiknya bagi mempertingkatkan taraf ekonomi komuniti serta graduan yang berminat menceburi bidang pertanian.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar, berkata untuk permulaan beberapa projek sudah dirangka khusus bagi komuniti Parit Sulong di Johor sebagai inisiatif membantu golongan sasar menambah pendapatan yang dilaksanakan melalui Skim Geran Penyelidikan Translasional UMT.

Beliau berkata, antara inisiatif dilakukan untuk membantu pembangunan kapasiti komuniti adalah melalui pemindahan dan asimilasi ilmu serta teknologi yang dihasilkan ahli akademik UMT melalui geran berkenaan.

"Geran ini akan menghakupayakan komuniti melalui konsep inovasi sosial dalam membantu peningkatan sosio-ekonomi di samping membina jalinan kerjasama berterusan antara universiti dan komuniti.

"Kali ini UMT melebarkan jaringan kerjasama dengan komuniti di Parit Sulong melalui Projek Translasional Ternakan Kelulut serta Ternakan Udang Galah dan Tanaman Sayuran," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad merasmikan majlis pelancaran projek tersebut pada Program Tautan Mesra Komuniti Parit Sulong dan Karnival Kementerian Tinggi #KeluargaMalaysia.

Mazlan berkata, UMT juga akan mengintegrasikan penternakan udang galah atau ikan dan sayur-sayuran bagi membantu komuniti meningkatkan taraf hidup melalui penghasilan sistem ternakan yang mampan, mesra pengguna serta dijangka mampu beroperasi sehingga tempoh lebih lima tahun.

Projek itu disifatkannya cukup menarik kerana menggunakan modal permulaan yang rendah dan boleh ditempatkan di sudut terbuka.

"Saya percaya projek seperti ini akan membawa pulangan yang baik dari segi peningkatan taraf ekonomi komuniti Parit Sulong.

"Diharap projek yang dilaksanakan dapat melahirkan usahawan berkemahiran tinggi yang berdaya saing dan lestari dalam sektor agro-pelancongan setempat," katanya.

Dalam masa sama kata Mazlan, UMT juga berjaya melahirkan 30 graduan usahawan daripada pelbagai latar belakang pengajian melalui projek Kelulutpreneur.

"Peserta Kelulutpreneur UMT didedahkan dengan modul latihan ternakan kelulut bermula dari awal sehingga kepada penghasilan produk berasaskan madu.

"Teknik pemasaran produk melalui medium dalam talian yang terkini juga turut diajar bagi memastikan peserta berjaya sebagai pengusaha kelulut yang mampan dan berdaya maju," katanya.

Sebelum ini, Program Kelulutpreneur UMT bersama kumpulan sasar melalui dana translasional UMT dan KPT berjaya dilaksanakan termasuk bersama kumpulan ibu tunggal di Kampung Tempinis, Besut; Komuniti petani (Bukit Kor, Marang), golongan asnaf B40 (Kampung Gemuruh, Kuala Nerus) dan Komuniti Nelayan (Kampung Pengkalan Gelap, Setiu)

Berita Harian X