Sabtu, 19 Februari 2022 | 10:48am

Tiada tumpahan minyak di Selat Melaka

MELAKA: Tiada kesan tumpahan minyak dari kapal di Selat Melaka dekat Pelabuhan Tanjung Bruas, Tanjung Kling.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Rosli Osman, berkata pemantauan bersama Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Laut malam tadi tidak menemui kesan tompokan minyak hitam seperti didakwa pengadu dalam video tular semalam.

Katanya, pemantauan menggunakan dron di Pantai Puteri, Pantai Rombang, Pantai Kundur, Pantai Klebang, selain pantai di Shah Beach Resort dan di Taman Spring Garden.

"Tiada lelehan minyak daripada dua kapal yang berlabuh di jeti terbabit.

"Hasil temu bual dengan pengadu di lokasi, dia juga tidak pasti punca tompokan minyak itu di laut," katanya.

Beberapa individu dipercayai pekerja di jeti pelabuhan terbabit mendakwa berlaku membuang sisa minyak pada waktu malam daripada kapal dan kejadian terbaharu dirakamkan jam 9.35 malam Khamis lalu.

Mengulas lanjut Rosli berkata, pihaknya turut mengambil sampel daripada kedua-dua kapal berlabuh di pelabuhan itu.

"Jika kita temui tumpahan minyak di laut, JAS akan bandingkan dengan sampel diambil daripada kapal terbabit bagi mengetahui puncanya," katanya.

Orang ramai boleh menghubungi 06-2345720 untuk aduan berkaitan.

Tiada kesan tumpahan minyak dekat pelabuhan Tanjung Bruas, Melaka. - Foto JAS
Tiada kesan tumpahan minyak dekat pelabuhan Tanjung Bruas, Melaka. - Foto JAS
Berita Harian X