Jumaat, 18 Februari 2022 | 6:03pm
Gambar hiasan: Guru di Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Terengganu, Zuraida Yusof meletakkan papan tanda sebelum bermula peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2019
Gambar hiasan: Guru di Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Terengganu, Zuraida Yusof meletakkan papan tanda sebelum bermula peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2019

SPM dalam kuarantin diberi tarikh baharu duduki peperiksaan

PUTRAJAYA: Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang berada dalam kuarantin kerana jangkitan COVID-19, tidak perlu menduduki kertas peperiksaan masing-masing pada tarikh ia diadakan.

Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata sebaliknya calon berkenaan akan menduduki peperiksaan terbabit pada tarikh baharu yang akan dimaklumkan kelak.

"Mereka yang dijangkiti COVID-19 ketika SPM ini, akan menduduki peperiksaan berkenaan pada tarikh akan diberitahu kemudian. Ini sama seperti kita laksanakan pada ujian lisan tempoh hari, mereka yang positif tidak perlu ambil ujian dan akan ambil peperiksaan itu kemudian.

"Bagi calon yang sedang menduduki peperiksaan, namun pihak sekolah baru mendapat maklumat yang individu itu positif, calon itu akan diletakkan dalam bilik khas yang disediakan di sekolah berkenaan.

"Calon yang menjadi kontak rapat pula, sekiranya perlu menjalani kuarantin, dia juga tidak perlu hadir ke tempat peperiksaan. Namun yang menjadi kontak rapat ini perlulah menunjukkan pengesahan daripada Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Yayasan Didik Negara (YDN), hari ini.

Dalam perkembangan berasingan, Radzi berkata, pihaknya sudah berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memastikan penggunaan kelas di sekolah menengah sebagai Pusat Pengundian untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dapat dikurangkan.

Beliau berkata, pihaknya meminta SPR tidak membabitkan bilik darjah yang akan digunakan untuk peperiksaan SPM 2021.

"Bilik peperiksaan ini sudah disusun pihak sekolah dan guru, ia sudah mengikut indeks nama murid. Sebarang gangguan susunan atau aturan berkenaan boleh memberi implikasi yang besar.

"Jadi kita sudah maklumkan perkara ini kepada pihak sekolah dan KPM akan berbincang dengan SPR untuk elakkan penggunaan bilik utama untuk peperiksaan berkenaan," katanya

Radzi berkata, secara umumnya SPR memaklumkan akan menggunakan sebanyak 151 sekolah menengah bagi PRN Johor yang dijadualkan pada 12 Mac ini.

Katanya, walaupun KPM tetap dengan pendirian supaya sekolah menengah di Johor tidak digunakan sebagai pusat mengundi, namun pihaknya terpaksa akur kerana SPR mempunyai akta yang membolehkan suruhanjaya itu mengambil sekolah terbabit sebagai tempat mengundi, sekiranya didapati perlu.

Dalam pada itu, Radzi turut memohon kepada SPR untuk mengecualikan guru yang terbabit sebagai pengawas peperiksaan, petugas peperiksaan atau pemeriksa markah daripada menjadi petugas PRN.

"KPM sedar bahawa ini adalah tempoh penting dan perlu menumpukan sepenuhnya dalam pelaksanaan SPM. Kita perlu jalankan dalam keadaan teratur dan sebab itu kita memohon supaya SPR ini mengecualikan guru ini daripada menjadi petugas.

"Oleh itu, guru yang terbabit ini perlu memaklumkan kepada wakil SPR di kawasan masing-masing dan maklumkan sekiranya mereka ada pengganti. Sekiranya tiada pengganti, guru ini perlu maklumkan kepada wakil SPR," katanya.

Mengenai pelancaran YDN, Radzi berkata, ia akan menjadi sebuah badan rasmi yang bertanggungjawab untuk menyalurkan sumbangan kepada pihak sekolah secara lebih sistematik dan menyeluruh.

"Kadang-kadang ada sekolah yang menerima sumbangan (daripada pihak luar), namun tidak maklumkan kepada KPM. Jadi akan berlakunya pertindihan sumbangan.

"Dengan adanya YDN ini, kita boleh selaraskan sumbangan berkenaan, jika data menunjukkan sekolah itu sudah menerima sumbangan, maka sumbangan yang ada boleh diagihkan kepada sekolah lain," katanya.

Berita Harian X