Khamis, 17 Februari 2022 | 1:06pm
Pekerja di Ladang Induk MARDI Muadzam Shah melakukan kerja pengeraman telur Ayam Saga.
Pekerja di Ladang Induk MARDI Muadzam Shah melakukan kerja pengeraman telur Ayam Saga.

Ayam Saga mampu tampung keperluan permintaan

SERDANG: Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) memperkenalkan baka ayam kampung dikenali sebagai Ayam Saga, yang dapat membantu industri ternakan ayam tempatan dalam jangka masa panjang.

Pembangunan baka Ayam Saga itu bukan sahaja dapat membantu menampung keperluan permintaan ayam, malah bekalan telur yang diperlukan pengguna.

Timbalan Ketua Pengarah MARDI, Dr Mohamad Kamal Abdul Kadir, berkata pihaknya menjangkakan dapat menghasilkan 500,000 ekor Ayam Saga menjelang 2025, yang boleh disembelih atau menghasilkan telur lebih banyak dalam tempoh lebih singkat berbanding ayam kampung biasa.

Beliau berkata, Ayam Saga mempunyai ciri seperti ayam kampung biasa, tetapi pertumbuhannya lebih cepat dan seragam serta boleh mencapai berat satu kilogram (kg) iaitu berat yang sesuai untuk disembelih dalam tempoh lapan minggu atau dua bulan, berbanding tempoh enam bulan untuk ayam kampung biasa.

Katanya, baka yang dibangunkan MARDI menggunakan sumber genetik gabungan ayam kampung tempatan itu boleh mencapai berat sekitar 1.8kg bagi ayam jantan dan 1.5kg bagi ayam betina pada umur 10 minggu hingga 12 minggu.

Dari segi penghasilan telur pula, Mohamad Kamal berkata, Ayam Saga mampu menghasilkan sekurang-kurangnya 100 biji hingga 120 biji telur seekor selama 65 minggu hingga 70 minggu berbanding 60 biji hingga 80 biji bagi tempoh sama untuk ayam kampung biasa.

Pekerja memeriksa telur bernas dari Ayam Saga yang dieram.
Pekerja memeriksa telur bernas dari Ayam Saga yang dieram.

"MARDI sudah menjalankan pembangunan baka Ayam Saga sejak 2008 dan kajian berkaitannya berterusan hingga kini bagi meningkatkan mutu baka ayam kampung ini ke arah kelestarian pengeluaran sumber protein negara.

"Ayam Saga terhasil daripada gabungan empat strain ayam kampung yang dihasilkan MARDI iaitu Alfa, Beta, Gamma dan Tetta, dengan kadar tumbesaran lebih cepat dan penghasilan telur yang lebih banyak.

"Makanannya pula diformulasi menggunakan bahan tempatan dan kos makanannya 15 peratus lebih rendah berbanding kos makanan ayam biasa, yang berasaskan bahan import seperti jagung dan mil kacang soya.

"Ayam Saga ini juga sesuai untuk diternak secara separa intensif atau lepas bebas di bawah ladang kelapa sawit, getah atau buah-buahan, yang mana mana pemeliharaan dan pemakanannya lebih mudah dan ringkas berbanding ayam daging biasa.

"Kita menjangkakan penghasilan 500,000 ekor Ayam Saga menjelang 2025 dan 2.5 juta ekor setahun, bersamaan satu peratus daripada populasi ternakan ayam di negara ini menjelang Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13)," katanya.

Beliau berkata, penghasilan Ayam Saga itu dapat membantu mengurangkan kebergantungan import induk dan baka ayam jantan.

Berikutan itu, katanya, MARDI mengharapkan kerjasama syarikat, estet dan penternak ayam untuk menjayakan projek ini.

Ketika ini, Mohamad Kamal berkata, MARDI mempunyai enam penternak pembaka atau induk (parentstock (PS)) Ayam Saga dan masih mencari sekurang-kurangnya 16 lagi penternak PS untuk mengembangkan baka itu.

"Buat masa ini, purata induk Ayam Saga kurang daripada 1,000 ekor bagi setiap ladang PS, dengan penghasilan setiap bulan adalah daripada 84,000 hingga 100,000 anak ayam setiap bulan," katanya.

Timbalan Ketua Pengarah MARDI, Dr Mohamad Kamal Abdul Kadir. - NSTP/Saifullizan Tamadi
Timbalan Ketua Pengarah MARDI, Dr Mohamad Kamal Abdul Kadir. - NSTP/Saifullizan Tamadi

Selain itu, beliau berkata, Ayam Saga mempunyai daging yang lebih pejal dan kenyal, berupaya untuk menggunakan makanan berserat tinggi tanpa mengganggu prestasi pertumbuhannya.

Katanya, ini juga satu kelebihan Ayam Saga, yang mana bahan makanan alternatif tempatan yang kebanyakannya berserat tinggi dapat dimasukkan ke dalam formulasi makanan Ayam Saga pada paras lebih tinggi, sekali gus mengurangkan penggunaan bahan import dan kos penghasilan makanan untuk ternakan itu.

Berita Harian X